Wednesday, September 8, 2010

Mereka masih selamat

2010/09/08

SHAH ALAM: “Insya-Allah, polis percaya mereka masih selamat,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengulas misteri kehilangan jutawan kosmetik Nouvelle Beauty Care Sdn Bhd (Nouvelle Beauty), Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga lelaki lain sejak 30 Ogos lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan milik Sosilawati yang ditemui malam kelmarin tidak menemui sebarang unsur curiga, namun siasatan lanjut masih diteruskan.


“Siasatan dibuat daripada pelbagai sudut. Semua ahli keluarga mangsa sudah ditemu bual bagi mendapatkan gambaran sebenar. Malah, kami juga mengesan individu yang dipercayai mahu ditemui dia (Sosilawati) atas urusan jual beli hartanah sebelum dia hilang,” katanya di sini, semalam.


Beliau ditemui pada sidang media selepas perbarisan sempena persaraannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar serta pegawai kanan polis.


Sosilawati dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya selepas dikatakan keluar dari pejabatnya di Jalan Raja Bot, Chow Kit, Kuala Lumpur, pada 30 Ogos lalu. Beliau dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas memberitahu seorang anak perempuannya mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari. Ahli perniagaan itu dilaporkan hilang bersama pemandunya, Kamarudin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abd Karim, 32; dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38. Bagaimanapun kereta mewah milik Sosilawati ditemui ditinggalkan di luar Pangsapuri Angsana di USJ1, Subang Jaya, dekat sini, kira-kira jam 9.45 malam kelmarin. Turut ditemui kenderaan milik Ahmad Kamil diletakkan di hadapan Hotel Dorsett di SS12, Subang Jaya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Merekamasihselamat/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...