KUALA LUMPUR: "Tolong faham, abang tak balik rumah tiga hari dan abang minta maaf. Nanti balik abang akan cerita," itulah kata-kata terakhir Noorhisham Mohammad kepada isterinya Suzana Radim Pangat menerusi telefon sebelum beliau dilaporkan hilang.
Noorhisham, 38, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru dilaporkan hilang bersama-sama juwatan kosmetik Sosilawati Lawiya, 44, pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka dilaporkan hilang sejak Isnin lepas semasa berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Suzana, 38, berkata kali terakhir beliau bercakap dengan Noorhisham ialah melalui panggilan telefon kira-kira 8.15 malam Isnin minggu lalu dalam keadaan tergesa-gesa.
"Saya rasa sangat pelik. Apabila saya tanya kenapa, dia cuma jawab yang dia suruh saya faham, nanti balik dia akan cerita semuanya, dan ketika itu dia hanya sehelai sepinggang.
"Jadi, saya tak buat apa-apa tindakan kepada polis walaupun saya rasa apa yang berlaku ini pelik sebab bila suami cakap dia akan balik tiga hari lagi, fahaman saya dia akan balik," katanya kepada Bernama di kediamannya di Taman Seria, Ampang, Selasa.
Beliau berkata pada hari kejadian, suaminya ada memberitahu bahawa beliau akan ke Banting atas urusan kerja bersama-sama Sosilawati, Kamaruddin dan Ahmad Kamil.
"Dan apa yang saya tahu pada masa itu, suami saya menaiki kereta dengan (Ahmad) Kamil sebab sebelum bertolak ke Banting dia ada telefon bagi tahu yang dia nak bertolak," katanya.
Suzana yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinannya dengan Noorhisham, berkata sejak 31 Ogos hingga kini beliau tidak dapat menghubungi suaminya.
"Pada hari berikutnya itu, saya risau kenapa dia tak hubungi. Petang saya hubungi dan SMS suami saya guna telefon saya dan anak, tetapi tak dapat," katanya.
Menurutnya beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira 5 petang pada Khamis lepas selepas tiga hari suaminya tidak pulang ke rumah.
"Saya risau sebab dah tiga hari dia tak balik, sebelum ini dia tak pernah buat macam ni. Kalau pergi out station pun dia akan balik," katanya sambil menambah Sosilawati merupakan pelanggan Noorhisham sejak dua tahun lalu.
Menurut Suzana, hari ini beliau dapat mengenal pasti kereta suaminya yang berada di Seksyen 7, Shah Alam.
"Anak Datuk Sosilawati beritahu kereta (Proton Perdana) Noorhisham ada di Seksyen 7. Nasib baik kunci spare ada dan saya terus ke sana untuk bawa kereta itu balik ke rumah," katanya.
Mengenai persiapan Aidilfitri yang bakal disambut beberapa hari lagi, Suzana berdoa agar suaminya dapat pulang untuk meraikannya bersama mereka sekeluarga.
"Kali ini saya tak ada apa-apa persiapan. Hanya saya harap suami saya balik sebelum hari raya. Sebelum suami saya hilang dia dah belikan baju raya untuk anak-anak kami.
"Yang paling menyedihkan ialah 13 September ini adalah ulang tahun kelahiran suami saya," katanya.
Suzana meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suaminya agar segera tampil ke balai polis membuat laporan.
"Saya minta semua doakan suami saya pulang tak kira dia berada dalam keadaan macam mana sekalipun," katanya sambil menambah suaminya tidak pernah meluahkan sebarang masalah baik dari segi pekerjaan mahupun dengan Sosilawati.
Keluarga Sosilawati pula berkata mereka tidak menerima sebarang surat amaran termasuk ugutan berhubung kehilangan jutawan itu.
Adiknya Masturi, 42, berkata sebarang surat atau panggilan telefon termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak diterima keluarganya dari mana-mana pihak berhubung misteri kehilangan kakaknya itu.
Masturi yang ditemui pemberita di hadapan rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak berkata beliau yang datang dari Johor, berada di rumah itu untuk menjaga anak-anak kakaknya sejak kakaknya dilaporkan hilang.
"Semua keterangan telah diberikan kepada polis. Sebarang perkembangan tentang kakak saya akan diberitahu oleh anak sulungnya melalui kenyataan yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
"Saya minta pada semua agar mendoakan keselamatan kakak saya, tambahan Hari Raya akan menjelma tidak lama lagi," katanya.
Anak Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 24, pula berharap kerjasama berterusan daripada masyarakat akan membawa kepada kejayaan yang lebih besar lagi selepas ini seterusnya merungkaikan segala permasalahan berhubungan kehilangan ibunya.
"Saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap isu mengenai ibu kami sehingga membawa kepada penemuan kenderaan ibu kami semalam.
"Penemuan terbaru ini menunjukkan kerjasama, keprihatinan yang tidak berbelah bahagi seluruh rakyat masyarakat Malaysia terhadap dugaan yang sedang kami sekeluarga hadapi," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Beliau meminta seluruh masyrakat berdoa agar ibunya ditemui dalam keadaan selamat agar mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan suasana yang meriah.
"Kami harap dapat menyambut Hari Raya bersama ibu seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Kami juga memohon kerjasama semua pihak agar memahami situasi kami adik-beradik khususnya adik-adik saya yang masih mencari kekuatan untuk menghadapi situasi yang cukup mencabar ini," katanya. - BERNAMA
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/7/mstar_berita/20100907210727&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment