2010/09/08
SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini, semalam membebaskan bekas pegawai bank, Rasidi Ismail, 32, yang didakwa membunuh empat ahli keluarganya di Gemencheh, Tampin, awal Januari lalu atas alasan tidak siuman.
Bagaimanapun, tertuduh akan ditahan di Penjara Kajang, Selangor hingga tempoh diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin, ketika membacakan keputusan penghakimannya berkata, mahkamah membebaskan Rasidi daripada tuduhan selepas mendapati tertuduh berada dalam keadaan tidak sedar dan tidak siuman ketika melakukan perbuatan itu.
“Hasil pemeriksaan hospital selama dua bulan mendapati tertuduh disahkan menghidap sakit jiwa akibat mengalami delusi dan halusinasi sejak beberapa tahun lalu.
“Tertuduh diklasifikasikan menghidap ‘skizofrenia paranoid’ iaitu berlaku gangguan pada pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kemerosotan fungsi psiko-sosialnya,” katanya.
Beliau berkata, Rasidi juga dikesan mengalami gejala delusi atau kepercayaan palsu iaitu empat ahli keluarganya sudah meninggal dunia sebelum kejadian berlaku selain turut berhalusinasi.
Malah, katanya, tertuduh sebelum ini tidak pernah mempunyai masalah dengan jiran dan ahli keluarga sendiri.
“Pihak pendakwaan bagaimanapun berjaya membuktikan tuduhan berkenaan melampaui keraguan munasabah,” katanya.
Sepanjang perbicaraan kes berkenaan, seramai 13 saksi termasuk ahli keluarga mangsa dipanggil memberi keterangan di mahkamah.
Rasidi yang tenang sepanjang perbicaraan sebelum ini diarahkan Mahkamah Tinggi untuk menjalani pemeriksaan mental selama dua bulan di Hospital Permai sejak 23 Mac lalu selepas mengaku bersalah membunuh empat ahli keluarganya.
Dia sebelum ini mengaku bersalah melakukan pembunuhan itu dan mendakwa melakukan perbuatan itu atas arahan dari langit.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuknya, Atan Daud, 87, dan neneknya, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara jam 7 pagi hingga 11 pagi pada 5 Januari lalu.
Dia turut didakwa membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119 kampung berkenaan pada tarikh dan waktu sama.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin manakala Hanif Hassan mewakili tertuduh.
Keputusan mahkamah itu disambut dengan linangan air mata kegembiraan dan kesyukuran keluarga tertuduh termasuk ibunya, Saharah Atan, 59, serta sanak saudara.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tertuduhbebas/Article
No comments:
Post a Comment