Monday, September 20, 2010

Bila-bila masa boleh roboh

Oleh Mohd Zaidi Ya’acob

2010/09/20

MELAKA: Akibat dihimpit kemiskinan, sepasang suami isteri warga emas hanya mampu menumpang berteduh di sebuah rumah usang yang sudah reput dan hanya menunggu masa menyembah bumi sejak sekian lama di Kampung Pengkalan Rama Pantai, dekat sini.

Tinjauan Harian Metro ke rumah pasangan terbabit semalam mendapati warga emas terbabit umpama tinggal di sebuah pondok kecil yang hanya menunggu masa untuk roboh dan sewajarnya mendapat pembelaan segera.


Esah Mohamad, 66, berkata dia bersama suami, Ismail Abdullah, 65, kini hidup dalam kebimbangan jika rumah didiami roboh disebabkan bahagian dapur pernah runtuh manakala zink pula sering tercabut ditiup angin kencang.


Menurutnya, suaminya terpaksa meletakkan kayu untuk menongkat rumah peninggalan arwah bapanya berusia lebih 50 tahun bagi mengelak roboh.


“Malah, setiap kali hujan, saya terpaksa mengalihkan barang dalam rumah supaya tidak basah. Jika angin kuat, hati cukup bimbang pondok ini ranap bila-bila masa saja. “Siapa lagi sanggup tinggal dalam rumah berkeadaan begini dan memang mahu membaikinya, tetapi apa lagi mahu dikatakan kerana tidak mampu, jadi terpaksalah terus tinggal di sini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Katanya, dia pernah memohon mendapatkan bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebanyak 10 kali sejak tiga tahun lalu, tetapi ditolak dengan alasan tidak mempunyai tapak bersesuaian.


Katanya, isu berkenaan kini selesai apabila saudara-mara sudah membenarkan mereka mendirikan rumah di tapak sedia ada dan berharap pihak berkenaan dapat segera membantu mendapatkan tempat tinggal lebih selesa.


“Ada yang datang ambil gambar, selepas itu dia kata (permohonan) dalam proses, tetapi apabila saya menelefon tidak dapat sampai sekarang masih menunggu macam buah tak gugur.


“Saya mendapat bantuan kewangan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi terpaksa mengambil upah melakukan kerja kampung bagi menambah pendapatan disebabkan suami tidak boleh bekerja kuat akibat kaki sakit”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bila-bilamasabolehroboh/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...