2010/09/20
KUALA LUMPUR: Umno perlu melayan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sama seperti badan bukan kerajaan (NGO) lain kerana kedua-duanya mempunyai matlamat sama memperjuangkan hak orang Melayu, tetapi dalam masa sama peranan Umno lebih luas.
Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berkata, Perkasa memperjuangkan hak Melayu sama seperti Umno, tetapi Umno adil kepada semua kaum.
“Pemimpin Umno tidak pernah mengetepikan hak kaum lain. Isu ini tidak perlu dibesarkan kerana peranan Umno lebih luas.
“Umno adalah parti politik, manakala Perkasa NGO, masing-masing ada tugas,” katanya ketika ditemui pada majlis jamuan Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Serbaguna, Parlimen di sini, semalam. Katanya, parti komponen Barisan Nasional (BN) juga menjaga kepentingan kaum masing-masing dan memahami hak semua kaum di negara ini.
“Ada pemimpin Umno kata, kita kena asingkan (Perkasa), tetapi bagi saya itu pendirian masing-masing.
“Umno mempunyai matlamat perjuangan jelas dan berjaya menjadikan Malaysia negara berbilang kaum yang bersatu padu,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan BN dengan sokongan sebulat suara 13 parti komponennya terutama UMNO, memutuskan menjauhi Perkasa kerana dikhuatiri menjejaskan kewibawaan dan keupayaan BN meraih pengundi pelbagai kaum.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, Umno tidak akan menyokong Perkasa pada pilihan raya umum akan datang kerana boleh menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Umno_PerkasasamaperjuanghakMelayu/Article
No comments:
Post a Comment