Monday, September 20, 2010

Macam haiwan

Oleh Siti Fatimah Hassan

2010/09/20

KOTA BHARU: “Kesalahan ini serius serta amat menjijikkan dan tidak sepatutnya berlaku.

“Hanya haiwan yang tidak mengenal hubungan seperti ini,”
kata Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal L Salleh sebelum menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang lelaki berusia 35 tahun yang merogol cucu tirinya berusia tiga tahun lima bulan.

Zainal membuat keputusan itu di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, di sini, terhadap Hassham Saleh yang berasal dari Kampung Sungai Hala, Machang selepas didapati bersalah merogol kanak-kanak perempuan terbabit pada jam 9 pagi, April tahun lalu.


Beliau turut memerintahkan hukuman itu dijalankan bermula dari tarikh tangkapannya iaitu pada 10 Mei tahun lalu.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun dan sebatan.


Pada prosiding semalam, Hassham yang ditemani ahli keluarganya, kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan Zainal.


Dia diwakili peguam, Roziman Md Noor manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nooriah Osman.


Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik di rumah beralamat PT2048, Taman Desa Arif, Machang. Terdahulu, Zainal dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan keterangan munasabah dan ia dianggap penafian pihak mereka.


“Pembelaan yang mengatakan dia difitnah dua saksi pendakwaan iaitu bekas isteri dan adiknya dianggap sebagai pembelaan baru memandangkan ia tidak pernah ditimbulkan ketika pendakwaan,” katanya.


Bagaimanapun, Roziman membuat rayuan supaya hukuman lebih ringan dijatuhkan terhadap anak guamnya dengan mempertimbangkan beberapa faktor termasuk masalah kesihatannya.


“Tertuduh juga sebelum ini tidak pernah mempunyai rekod jenayah seksual dan ini adalah kes pertama.


“Dia turut menghidap penyakit dalam perut menyebabkan najis berdarah selain terpaksa menanggung ibunya yang tidak sihat,”
katanya.


Rayuan pembelaan itu dibantah Nooriah yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan kesalahan jenayah itu tidak boleh diterima masyarakat.


Katanya, kes itu turut mendatangkan trauma dan kesan berpanjangan kepada mangsa apabila dirogol dalam usia yang sangat muda.


“Perbuatan ini bukan saja satu jenayah tetapi perbuatan yang keji serta tidak boleh diterima masyarakat.


“Mohon mahkamah mempertimbangkan perkara ini untuk menjatuhkan hukuman berat,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Macamhaiwan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...