Thursday, October 28, 2010

Aleeza sah bercerai

KUALA LUMPUR: Dengan deraian air mata, dramatis dan model terkenal Aleeza Kassim, 39, keluar dari kamar hakim Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam apabila sah bercerai secara baik selepas lebih empat tahun berkongsi hidup dengan suaminya, Mohd Fauzi Che Ros, 45.

Lafaz cerai itu dibuat Mohd Fauzi yang dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi di dalam kamar hakim itu.


Terdahulu pasangan itu yang hadir bersama, tiba di mahkamah seawal jam 9.15 pagi dan terus memasuki kamar hakim dengan diiringi seorang peguam.


Lafaz cerai secara tertutup itu berjalan hampir 15 minit dan ketika pasangan itu keluar, kelihatan Aleeza hanya menundukkan wajah sambil teresak-esak menangis dengan berjalan berpegangan tangan dengan Mohd Fauzi.

Bagaimanapun, Mohd Fauzi yang juga seorang ahli perniagaan kelihatan tenang sambil cuba menenangkan Aleeza.


Pasangan itu kemudian terus meluru keluar beredar meninggalkan mahkamah dengan dua kereta berasingan.

Peguam Syarie Muhammad Nur Hafiz Roslan yang mewakili Mohd Fauzi ketika ditemui wartawan di luar mahkamah mengesahkan kedua-dua pasangan itu sudah bercerai secara baik.


“Mereka berkahwin secara baik dan mahu bercerai secara baik.


“Terbukti Mohd Fauzi seorang yang berhemah (gentleman) kerana memilih jalan yang betul mahu menyelesaikan proses perceraian ini secara baik,” katanya.


Muhammad Nur Hafiz juga memberitahu semuanya sudah diselesaikan dan tidak akan timbul sebarang isu dan tuntutan yang berbangkit selepas ini.


Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut apabila disoal wartawan berhubung isi kandungan tuntutan itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Aleezasahbercerai/Article/index_html



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...