GEORGETOWN: Seorang penjual nasi tomato dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas bersalah membunuh rakan sepermainannya empat tahun lalu di Mahkamah Tinggi Georgetown, di sini, semalam.
Tertuduh, Omar Shaari, 49, berasal dari Perak didakwa membunuh Faridah Mohd Shariff, 46, di rumah bernombor 307-1, Kampung Makam, Jalan Datuk Keramat antara jam 11 pagi dan 2 petang pada 12 September 2006.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan pada akhir kes pendakwaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Beliau berkata, pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Arik Zakri Abdul Kadir, berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah serta tuduhan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.
“Pembelaan dikemukakan pada sesi pembelaan diri adalah bersifat penafian semata-mata tanpa sebarang bukti yang boleh diambil kira bagi memberi manfaat kepada pembelaannya, oleh itu, saya menjatuhi hukuman gantung sampai mati kepada anda,” katanya, semalam.
Menurutnya, tertuduh yang diwakili peguam bela N Ahilan mereka-reka cerita dan cuba mengalihkan beban yang ditanggungnya dengan menyatakan Faridah sebenarnya dibunuh oleh pembantunya yang juga seorang warga Myanmar, Farouk Khan, 25.
Katanya, keterangan tertuduh yang mendakwa Farouk menarik dan membuang mayat mangsa di kawasan belukar di Minden Heights tanpa bantuan sesiapa tidak masuk akal apatah lagi Farouk tidak mengenali mangsa.
“Sebenarnya tertuduh adalah dalang sebenar dalam melakukan jenayah ini dan Farouk hanya seorang pembantu kepadanya, ia dibuktikan melalui keterangan saksi yang menyatakan melihat sebuah kereta berada di hadapan rumah tertuduh sewaktu hari kejadian.
“Keterangan kedua-dua isteri tertuduh pula hanya menjelaskan keluarga mereka tiada sebarang masalah kewangan, ia adalah tidak berkaitan dengan kesalahan jenayah malah tidak menjejaskan keterangan saksi utama pendakwaan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penjualnasibunuhrakandihukummati/Article/index_html
No comments:
Post a Comment