Sharifah Maimunah Isa Ismail, 47, pengsan ketika cuba berjalan ke arah suaminya selepas keputusan dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman.
Sebaik mahkamah ditangguhkan, wanita itu mula menangis kerana gagal menahan sebak dan tiba-tiba rebah kerana pengsan sehingga menimbulkan sedikit kekecohan di dalam kamar.
Tetuduh, Omar Sharif, 50, kelihatan tenang sewaktu mengusap isterinya dan duduk berhampirannya sehingga wanita itu sedar kira-kira lima minit kemudian.
Sebelum itu, Abdul Halim berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, penjual nasi tomato di Taman Tun Sardon, dekat sini.
Sepanjang kes itu, mahkamah menilai dan meneliti keterangan 22 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan sebelum hakim menjatuhkan hukuman.
“Berdasarkan keterangan, tertuduh yang juga saksi pembelaan tidak konsisten dan jelas mereka-reka cerita untuk mengalihkan beban yang ditanggungnya dengan mengatakan mangsa sebenarnya dibunuh pembantu gerainya, seorang warganegara Myanmar, Farouk Khan, 25," kata Abdul Halim.
Katanya, peranan Farouk adalah lebih kepada pembantu sahaja manakala Omar adalah ‘master mind’ yang melakukan pembunuhan itu semata-mata untuk mendapatkan barang kemas dan hasil jualan barang milik mangsa.
“Keterangan pihak pembelaan pula hanya bersifat penjelasan kepada mahkamah bagi membuktikan tertuduh tidak mempunyai masalah kewangan untuk membunuh mangsa.
“Namun, ia tidak boleh dianggap sebagai bukti munasabah kerana tidak semestinya orang miskin melakukan pembunuhan. Oleh itu, keterangan saksi pembelaan tidak cukup kukuh untuk dipertimbangkan bagi menimbulkan kesahihan dalam kes ini,” katanya.
Omar didakwa membunuh Faridah Mohd Sharif, 46, antara jam 11 pagi dan 2 petang di rumah No 307-I, Jalan Datuk Keramat, dekat sini, dalam pergelutan meragut barang kemas milik mangsa.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Arik Zakri Abdul Kadir manakala Omar pula diwakili peguam, N Agilan.
No comments:
Post a Comment