Monday, October 11, 2010

Aqasha Enggan Isteri Berhenti Kerja

Isnin Oktober 11, 2010

Dengan sekali lafaz, Aqasha sah bergelar suami Baizura. - Foto oleh SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Tidak seperti pasangan lain, penyanyi Aqasha, 28, meletakkan syarat agar isterinya, Noor Baizura Mohd Sabri, 27, tidak berhenti kerja.

Bukan kerana mahu mengongkong isteri, sebaliknya penyanyi lagu Cahaya Hati ini ingin isterinya berdikari apabila dia keluar bekerja.

Bagi Aqasha, wanita sepatutnya perlu turut serta menyumbang kepada pendapatan keluarga. Tambahan pula, wanita zaman moden kini lebih terdedah kepada dunia kerjaya.

Romantisnya pasangan bagai pinang di belah dua ini.

“Saya nak pasangan saya pandai berdikari serta boleh menjaga diri dan keluarga apabila saya keluar bekerja. Kalau saya mendapat isteri yang lemah-longlai, bagaimana saya nak tinggalkan rumah. Sekurang-kurangnya dia boleh melatih minda dan bersikap responsif,” katanya selepas diijabkabulkan di Lake Fields, di sini, Ahad.

Perkenalan yang tercetus sejak dua tahun lalu tidak disangka mampu membawa dua pasangan ini ke jinjang pelamin. Selepas bertunang pada 23 Mei lalu, akhirnya Aqasha dan Baizura memilih tarikh 10.10.10 untuk disatukan.

Kedua-dua belah pihak pada mulanya tidak merancang untuk memilih tarikh yang penuh dengan simbolik nombor itu.

“Idea untuk memilih tarikh 10.10.10 ini datang secara kebetulan. Dalam keadaan ahli keluarga dan sanak-saudara bertanya tentang bila tarikh perkahwinan kami, terus kami menetapkan 10.10.10. Kebetulan ia jatuh pada hari Ahad. Lagipun, tarikh dan nombor tu cantik dan amat bermakna,” ujar Aqasha sambil tersenyum di samping isterinya.

Upacara makan beradap.

Semasa majlis yang berlangsung penuh meriah itu, ramai sanak saudara kedua-dua pihak yang hadir. Tidak kurang juga saudara-mara Aqasha yang sanggup datang dari negeri Pantai Timur dan Utara.

Bukan sahaja tarikh yang dipilih tersebut penuh bermakna kepada kedua-dua mempelai ini, malah warna pakaian yang disarungkan ke tubuh mereka iaitu kuning juga mencetuskan makna tersendiri kepada Aqasha kerana dia yang memilih warna kegemarannya itu.

“Kami diibaratkan seperti raja sehari pada hari ini. Jadi, apa salahnya saya memilih warna kuning yang sinonim dengan warna di raja. Kami nak ambil berkat daripada warna ini,” tutur Aqasha, anak sulung daripada tiga beradik ini.

Kedua-duanya bagai pinang di belah dua dan seperti dilahirkan untuk hidup bersama. Jika ditanya kepada Aqasha mahupun Baizura, mereka merasakan seperti saling melengkapi antara satu sama lain.

Mempelai bergambar dengan ibu dan bapa Aqasha.

Di mata Aqasha, Baizura merupakan pilihan yang terbaik untuk menjadi isterinya kerana wanita itu memahami kerjayanya. Selain itu, Baizura yang berkhidmat di jabatan Network Presentation Unit di Astro itu menepati ciri-ciri wanita idaman seperti yang diingini oleh mana-mana lelaki.

Seperti pasangan lain yang baru berumah tangga, kedua-duanya tidak menolak jika dikurniakan anak dalam masa terdekat ini. Jika ada rezeki, mereka menerima dengan hati terbuka.

Tentang perancangan bulan madu, kemungkinan mereka akan memilih pulau di Malaysia sebagai destinasi percutian selepas melangsungkan majlis resepsi sebelah pihak lelaki pada 25 Disember ini di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks dan Kebudayaan Shah Alam.

Antara selebriti yang hadir ke majlis pernikahan Aqasha dan Baizura termasuk Jehan Miskin, Tony Eusoff dan Khir Rahman.

Dalam majlis persandingan yang dijangka dilakukan secara besar-besaran itu, Aqasha sekali lagi memilih warna tema kuning dan putih dengan gabungan konsep perkahwinan Melayu tradisional dan moden Inggeris. Pakaian mereka akan ditaja oleh Butik Fidz.

Tinggalkan sementara tentang percutian bulan madu mereka kerana ada yang lebih penting menanti Aqasha pada 21 November ini iaitu pelancaran album EP berjudulQashanova.

"Saya menganggap album yang memuatkan enam buah lagu ini sebagai album peribadi pertama saya kerana semuanya saya lakukan sendiri termasuk dari segi penulisan lirik, gubahan lagu dan susunan muzik.

"Saya juga bertindak selaku penerbit album di samping penerbit bersama, Alex Tan dari Star Mount Records.

"Saya memilih tajuk album Qashanova kerana lagu-lagu saya bertemakan cinta dan supernova bermaksud bintang yang menjadi sangat terang," jelasnya.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/10/11/mstar_hiburan/20101011003623&sec=mstar_hiburan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...