Monday, October 11, 2010

'Itu tak benar...'

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my
2010/10/11

SEREMBAN: “Kami berharap kemelut ini dihentikan kerana tidak memberi faedah, sebaliknya memburukkan lagi keadaan kerana cerita rumah tangga tidak sesuai dihebahkan kepada media, tambahan pula sebelum ini pun kami sudah jelaskan pendirian bahawa kami reda dengan ketentuan Tuhan yang mempertemukan jodoh antara Aidil dengan Rita,” kata bapa Mohd Aidil Zafuan, Abd Razak Salleh, 61.

Menurutnya, dia kesal dengan pelbagai kenyataan Rita yang disiarkan media mengenai rumah tangga mereka yang menyentuh reputasi keluarga mentuanya sedangkan dia dan ahli keluarga lain sudah sedia untuk berbaik ibarat seperti pepatah `buang yang keruh ambil yang jernih’.


Katanya, walaupun pada awalnya sudah mengharapkan tidak berlarutan tetapi segala harapan itu seolah-olah tidak menjadi sekali pun sepanjang perkahwinan mereka selama dua tahun, dia dan keluarga lain sudah berusaha membantu dengan memberi sokongan padu dan komitmen tinggi sebagai bapa mentua yang bertanggungjawab.


“Buktinya ketika mereka baru berkahwin dan ingin mendaftarkan perkahwinan dulu, saya bantu untuk daftarkan di Seremban tetapi Rita nak buat di Wilayah Persekutuan.


“Malah, ketika Rita melahirkan anaknya (Airit Rayyan Rizkin), kami sekeluarga termasuk Mohd Zaquan Adha pergi melawatnya, malah ibu Aidil turut menelefon besan (emak Rita) sebanyak dua kali bertanyakan khabar mengenai Rita dan cucu yang ketika itu berpantang di Perlis.


“Kami berusaha menenangkan keadaan kerana kami sayang mereka (anak, menantu dan cucu), malah tiada niat mencampuri urusan keluarga mereka (Aidil dan Rita) tetapi seolah-olah semua yang kami harapkan bagaikan tidak menjadi apabila kenyataan demi kenyataan dikeluarkan pelakon itu,” katanya di kediamannya di Taman Rashibah Indah Sikamat dekat sini, semalam.


Kebelakangan ini, media menyiarkan mahligai Mohd Aidil Zafuan, 23, dan Rita Rudaini Mokhtar, 34, dikatakan goyah dipercayai berpunca campur tangan pihak tertentu terutama keluarga mentua.


Pasangan yang berkahwin dua tahun lalu dikurniakan seorang anak lelaki, Airit Rayyan Rizkin.


Abd Radzak mendakwa, sejak mendirikan rumah tangga, pelakon itu tidak pernah datang ke rumahnya di Sikamat walaupun dijemput termasuk ketika dia mengadakan kenduri meraikan kejayaan pasukan bola sepak Negeri Sembilan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia, November tahun lalu.


Mengenai dakwaan Rita bahawa Aidil tidak balik ke rumahnya, beliau keliru dengan kenyataan itu kerana katanya, setiap kali selepas perlawanan bola sepak atau menjalani latihan, Aidil pulang ke Kuala Lumpur.


“Dakwaan kami mengawal Adil tidak benar kerana pendirian kami jelas seperti mana sebelum ini tidak campur tangan urusan keluarga mereka.

“Apa yang menyedihkan, Rita sendiri tidak pernah menghargai atau mengucapkan terima kasih atas sokongan yang kami berikan, malah SMS juga tidak pernah dibalas,” katanya yang kini kurang sihat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...