Saturday, October 2, 2010

Atap bocor, lantai berlubang

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
am@hmetro.com.my
2010/10/02

KUANTAN: “Rumah ini terlalu uzur dengan atap bocor sana sini manakala lantai semakin mendap hingga berjalan pun perlu berhati-hati bagi mengelak terjatuh dalam lubang dipenuhi air di bawah rumah.

“Saya sudah tidak sanggup tinggal di sini, tetapi apakan daya tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk membeli rumah walaupun rumah kos rendah,”
kata Hasifah Awang, 53.

Wanita itu tidak mempunyai pilihan selain meneruskan kehidupan bersama tiga daripada empat anaknya termasuk anak bongsu, Nurul Syahira Arif, 16, yang disahkan menghidap Skizofrenia sejak setahun lalu.


Anak sulung wanita itu, Mohd Afifi, 25, bekerja sebagai operator pengeluaran kilang di Johor Bahru manakala dua lagi anak, Nurul Ain, 24, dan Mohd Azizi, 22, masing-masing bekerja sebagai jurujual kedai peralatan telekomunikasi dan pembantu kedai runcit di sini.


Saya bukan ibu tunggal, tetapi isteri yang disisihkan suami dan sejak lapan tahun lalu terpaksa menjalani kehidupan penuh penderitaan tanpa dipedulikan suami yang hanya pulang ke rumah sekali-sekala.


“Sejak ditinggalkan, saya terpaksa meneruskan kehidupan bersama anak-anak selepas tidak dibenarkan menetap di rumah dibeli suami di perkampungan Sungai Isap, malah saya mendapat tahu rumah itu sudah dijual,”
katanya ditemui di rumahnya di Batu Tiga, Jalan Gambang, di sini, semalam.


Rumah yang terletak berhampiran sebuah bengkel kelihatan daif dan uzur dengan atap bocor, digenangi air di bahagian dapur ketika hujan lebat manakala lantai ruang tamu terpaksa ditutupi dengan papan lapis dan beralas lapisan kotak tebal bagi mengelak penghuninya terperosok dalam lubang.


“Disebabkan masalah ini, saya mahu berpindah kerana tidak selesa dan memberi kesan emosi jangka panjang untuk Nurul Syahira yang sering dalam keadaan tidak tenteram akibat penyakit itu,” katanya.


Menurutnya, dia berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan bagi mendapatkan tempat tinggal lebih selesa berbanding rumah disewanya sekarang dengan bayaran RM100 sebulan, tetapi mempunyai banyak masalah.


“Setiap tahun saya perlu membaiki bumbung yang bocor. Jika wang tidak mencukupi terpaksa membiarkannya dan meletakkan besen atau baldi bagi menadah air hujan.


“Walaupun tiga anak bekerja, ia hanya cukup untuk membayar sewa rumah, bil air dan elektrik serta membeli barangan dapur,”
katanya.


Katanya, Nurul Syahira disahkan menghidap Skizofrenia selepas mengalami kemurungan dan kerap mendengar bisikan suara ghaib ketika bersekolah dalam tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, di sini.


“Dia sering marah-marah dan tertekan hingga pada satu tahap mendengar suara ghaib yang memintanya memanjat pokok di depan sekolah dan terjun. Nurul Syahira akur dan terjun menyebabkan kakinya bengkak dan kesannya masih dirasainya hingga kini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Atapbocor_lantaiberlubang/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...