Saturday, October 2, 2010

Penjara 6 bulan lagi

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my
2010/10/02

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan yang sepatutnya dibebaskan Isnin ini selepas menjalani hukuman penjara enam bulan atas tuduhan menyiarkan gambar bogelnya bersama lelaki lain ketika melakukan hubungan sejenis di laman web terpaksa menunggu enam bulan lagi untuk bertemu keluarganya apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengubah perintah hukuman yang dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Jun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Tan Sri Abd Razak membuat keputusan itu terhadap Shahrom Mahadi, 45, selepas mendengar hujahan rayuan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Read mahukan tertuduh dikenakan hukuman penjara lebih lama dan berjalan secara berasingan.

Pada prosiding semalam, Sofian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara daripada enam bulan kepada setahun bagi enam pertuduhan yang dihadapinya dan ia diarahkan berjalan serentak mulai 4 Jun lalu.

Pada 4 Jun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap bapa kepada enam anak berusia antara setahun dan 21 tahun itu, selepas dia mengaku salah terhadap enam tuduhan pilihan, secara sedar menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet membuat dan memulakan penghantaran gambar bogelnya dalam laman web itu dengan niat mengganggu orang lain.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana, Jalan Datuk Onn di sini pada 27 Februari 2009 mengikut Seksyen 233(1)(a)(i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Sofian berkata perbuatan tertuduh sangat menjijikkan serta aibkan dirinya sendiri sebagai seorang beragama Islam. “Saya tak pernah tengok gambar sebegini rupa. Bagaimana kamu sebagai orang Islam sanggup memperdagangkan tubuh badan dalam keadaan sungguh mengaibkan, “ katanya sebelum membuat keputusan. Katanya, mahkamah mempunyai tanggungjawab memberi mesej kepada masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan yang sama.


“Mahkamah perlu memastikan masyarakat tidak terpengaruh dengan gejala buruk ini, “ katanya. Shahrom yang memakai pakaian penjara hanya menundukkan wajahnya apabila hakim membuat keputusan. Bagaimanapun tiada seorang pun ahli keluarganya hadir ke mahkamah pada prosiding petang semalam.


Terdahulu, dalam hujahnya, Mohd Farhan berkata, hukuman seharusnya dijatuhi terhadap tertuduh sepatutnya berjalan berturut-turut bukannya secara serentak.


“Ini kerana tertuduh memuat naik gambar lucahnya di enam laman web berbeza dan ini diakui dalam fakta kes dibacakan kepadanya. “Selain itu, hukuman patut diberatkan kerana ia membabitkan kepentingan awam,” katanya.


Sementara itu, Shahrom dalam rayuannya memohon mahkamah mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen kerana mendakwa dia sudah insaf dan ini kesalahannya yang pertama. “Harapan keluarga saya supaya saya pulang pada tarikh pembebasan, 4 Oktober ini. Saya ingin bertaubat dan membina hidup baru,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penjara6bulanlagi/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...