2010/10/02
BUTTERWORTH: Tarikh 10 Oktober ini dipilih gadis berusia 22 tahun sebagai hari akad nikah manakala majlis perkahwinan pada 16 Oktober, tetapi impian gadis berkenaan untuk bergelar isteri kepada lelaki dicintainya mungkin tidak kesampaian berikutan dilaporkan hilang, dipercayai dilarikan individu tidak dikenali sejak seminggu lalu.
Sebelum dilaporkan hilang pada 25 September lalu, Siti Nor Paraf Ismail menghantar kad jemputan majlis perkahwinannya pada 16 Oktober ini kepada rakannya di Pinang Tunggal, Kepala Batas.
Siti Nor Paraf yang tinggal di Kampung Lahar Kepar, Kepala Batas, keluar dari rumah kira-kira jam 5.30 petang 25 September lalu, menunggang menaiki motosikal Yamaha LC135 hitam dengan nombor pendaftaran PJE719.
Bapanya, Ismail Abdullah, 52, berkata ketika itu dia bersama isteri, Maimunah Lebai Shaari, 52, tiada di rumah kerana keluar mengundang saudara-mara serta sahabat handai ke majlis perkahwinan anaknya itu.
Katanya, Siti Nor Paraf yang juga anak ketiga daripada 10 beradik dijadual diijab kabul pada 10 Oktober ini di Masjid Lahar Kepar, Kepala Batas, dengan pasangannya yang bekerja sebagai pekerja industri dari di Kampung Paya Keladi Hujung, dekat sini.
Bagaimanapun, anak lelakinya, Syazwan, 16, memaklumkan Siti Nor Paraf tidak pulang apabila dia dan isteri pulang ke rumah kira-kira jam 8.30 malam.
Menurutnya, dia menghubungi telefon bimbit anak perempuannya itu yang bekerja sebagai pekerja industri di Bayan Lepas kira-kira jam 9 malam pada hari sama dan terdengar suara lelaki tidak dikenali menghalang Siti Nor Paraf daripada bercakap.
“Ketika menghubunginya, ada deringan dan selepas talian dijawab saya terdengar suara lelaki cuba menghalang anak saya yang seolah-olah berusaha hendak bercakap sebelum talian diputuskan.
“Saya percaya anak saya dilarikan individu tidak dikenali kerana kami sekeluarga tiada perselisihan faham dengan Siti, malah dia tidak meninggalkan pesanan ketika keluar rumah,” katanya yang mengunjungi pejabat Harian Metro di sini, semalam. Menurut Ismail, dia membuat laporan kehilangan anaknya di Balai Polis Kepala Batas pada 27 September lalu selepas gagal menghubunginya.
“Saya juga menghubungi rakannya selain keluarga terdekat bagi mengesannya, tetapi gagal. Kami kini bimbang keselamatannya selain persiapan perkahwinannya juga sudah dilakukan,” katanya.
Orang ramai yang menemui atau mempunyai maklumat mengenai Siti Nor Paraf diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ismail menerusi talian 04-5756169 atau Abdul Razak Darus (012-4904228).
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bakalpengantinhantarkadjemputan__8216_ghaib__8217_/Article
No comments:
Post a Comment