Saturday, October 2, 2010

'Kesal pemilik taska tak diambil tindakan'

2010/10/02

PUTRAJAYA: “Kami kesal kerana tiada tindakan diambil terhadap pemilik taska berkenaan walaupun laporan dibuat kepada pihak terbabit sehingga seorang lagi bayi menjadi mangsa kecuaian kakitangan terbabit,” kata Sofia Noor Yahya, 27.

Sofia Noor, ibu kepada bayi lelaki berusia empat bulan yang meninggal dipercayai akibat tersedak susu di sebuah taska dikatakan milik anak seorang kenamaan bergelar Datuk di Presint 18, di sini, Julai tahun lalu.

Katanya, dia amat terkejut apabila mengetahui tragedi sama berlaku terhadap anak pasangan Shahrulnizam Reihan dan Mazliana Nordin yang menghantar bayi mereka di taska berkenaan, sekali gus menunjukkan tiada sebarang tindakan diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Katanya, selepas tragedi menimpa anak sulungnya, Muhammad Syamil Nazhan Saiful Afzan, Julai tahun lalu dia membuat laporan kepada JKM selepas mengetahui taska itu tidak berdaftar.


“Mereka (JKM) berjanji menyiasat dan membuat pemantauan. Bagi saya pemantauan tidak perlu dilakukan kerana sudah terang-terangan ia tidak mempunyai lesen.


“Sepatutnya JKM terus memberhentikan operasi taska terbabit, tetapi tiada sebarang tindakan diambil hingga hari ini dan kes sama berulang terhadap pasangan terbabit,”
katanya ketika ditemui di kediamannya di Presint 11 di sini, semalam.


Sofia Noor berkata, dia enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap taska berkenaan selepas kematian anaknya kerana tidak mahu bedah siasat dijalankan.


Anak sulung pasangan Sofia Noor dan Saiful Azhan Abdul Rashid meninggal dunia 7 Julai 2009 selepas dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan taska terbabit, dan pada 20 September anak bongsu pasangan Shahrulnizam Reihan dan Mazliana Nordin, Noramirah menerima nasib sama di taska itu.


Difahamkan pemilik taska terbabit pernah beberapa kali memohon lesen, tetapi tidak mendapat kelulusan atas beberapa alasan termasuk tidak mengasingkan bayi dengan kanak-kanak.


Apa yang menghairankan, katanya, peraturan ditetapkan taska terbabit yang tidak membenarkan penjaga masuk ke dalam premis mereka juga amat diragui.


“Saya pelik kenapa mereka tidak membenarkan kami masuk ke dalam taska dan meminta kami menyerahkan anak kepada pengasuh di depan pintu taska saja.



“Selain itu, saya juga turut dimaklumkan kebanyakan bayi di situ dibedung sebelum diberikan susu dipercayai bagi mengelakkan bayi bergerak,”
katanya.


Sofiah Noor juga tidak menolak kemungkinan tindakan itu menyebabkan bayi tersedak susu hingga meninggal dunia.


Malah, katanya ketika dia menghantar anaknya ke taska berkenaan tahun lalu, hanya mempunyai dua pengasuh dan seorang penyelia untuk menjaga tujuh bayi dan 10 kanak-kanak.

Apa yang menyedihkan, katanya pemilik taska berkenaan membuat cerita kononnya anaknya tidak sihat ketika dihantar ke taska terbabit dan alasan sama diberikan terhadap kes pasangan suami isteri terbabit.

“Jadi kami minta taska itu ditutup. Selagi taska itu tidak ditutup dan penyelia masih bersikap endah tidak endah, kejadian sama mungkin berulang lagi. Pada masa sama saya menasihatkan ibu bapa supaya selidik latar belakang taska terlebih dulu sebelum menghantar anak ke taska,” katanya.

Mengimbau kembali kejadian yang menimpa anaknya, beliau berkata pada hari kejadian pemilik taska hanya meminta dia ke taska berkenaan dengan segera tanpa memaklumkan apa yang terjadi.


“Sebaik tiba di sana, saya diberitahu bayi saya sudah dibawa ke hospital menyebabkan saya bergegas ke unit kecemasan Hospital Putrajaya dan mendapati anak saya sedang dirawat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kesalpemiliktaskatakdiambiltindakan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...