Wednesday, October 6, 2010

Maklumat kekayaan AC melalui media

2010/10/05

KAJANG: Bekas isteri kepada pelakon dan pengacara popular AC Mizal mengaku dia mengetahui lelaki itu menerima pendapatan yang tinggi selepas media massa memberi liputan berhubung kekayaan dimiliki termasuk mempunyai beberapa kereta dan rumah mewah serta perniagaan.

Shafnie atau nama sebenarnya Shafnie Zainudin, 35, (plaintif) berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, dalam perbicaraan kes permohonan penggubahan tuntutan nafkah dua anaknya daripada RM300 kepada RM3,770 sebulan daripada AC Mizal atau Mizal Zaini, 39.

Menjawab soalan balas peguam syarie Siti Aishah Din yang mewakili AC Mizal (defendan), plaintif juga mengaku mengetahui berhubung kemampuan AC Mizal hanya bersandarkan liputan media yang disiarkan serta Internet.

SITI: Dalam ikatan dokumen dikemukakan, kamu mendakwa AC Mizal mendapat kontrak Akademi Fantasia selama dua musim, adakah kamu lihat isi kandungan kontrak itu?

SHAFNIE: Tidak.

SITI: Kamu kata pendapatan AC Mizal sebanyak RM5,000 bagi setiap episod, bagaimana kamu tahu?


SHAFNIE: Saya diberitahu.

SITI: Siapa?

SHAFNIE: Oleh orang Astro juga.

SITI: Maksudnya kamu hanya mengetahui melalui apa diberitahu orang sahaja?

SHAFNIE: Ya.

SITI: Adakah orang yang beritahu itu adalah orang melaksanakan kontrak itu?

SHAFNIE: Tidak.

SITI: Setuju saya katakan dakwaan RM5,000 adalah melalui ‘dengar cakap’ sahaja?

SHAFNIE: Setuju.

SITI: Berapa episod kemunculan AC Mizal?

SHAFNIE: Saya tidak tahu.

SITI: Oleh kerana kamu tidak pasti berapa kali dia muncul, kamu tidak tahu berapa yang dia (AC Mizal) perolehi?

SHAFNIE: Tidak tahu.

SITI: Dalam keterangan, kamu mendakwa defendan mengalami peningkatan pendapatan kerana berlakon dalam 11 filem. Adakah dia berlakon watak utama?

SHAFNIE: Tidak.

SITI: Adakah kamu tahu berapa jumlah pendapatan yang defendan peroleh daripada filem dilakonkan?

SHAFNIE: Tidak.

SITI: Kamu mengatakan tidak tahu, jadi bagaimana kamu tahu dia (AC Mizal) mempunyai pendapatan yang tinggi?

SHAFNIE: Dia (AC Mizal) sering ‘menyiarkan’ di media mengatakan dia mempunyai kereta mewah, rumah mewah dan perniagaan. Cuma mereka yang benar-benar kaya mempunyai semua itu.

SITI: Adakah kereta dan rumah itu atas nama defendan?

SHAFNIE: Saya tidak tahu.

Dalam keterangannya juga, Shafnie yang diwakili peguam syarie Mohd Ridhuan Husin tegas mengatakan bahawa insurans pendidikan dan dana pendidikan dituntut untuk dua anaknya adalah keperluan asasi dan wajar dibayar oleh AC Mizal.

SITI: Setuju saya katakan bahawa dalam Islam, bekas suami hanya wajib menyediakan tempat tinggal, makan dan minuman, pendidikan serta pakaian?

SHAFNIE: Setuju.

SITI: Setuju bahawa hiburan dan cuti bukan nafkah dituntut dalam Islam?

SHAFNIE: Setuju.

SITI: Insurans pendidikan dan dana pendidikan juga bukan keperluan asasi malah jika tidak diambil anak-anak masih boleh belajar?

SHAFNIE: Ya saya setuju anak-anak masih boleh belajar tetapi saya tidak setuju ia bukan keperluan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah bersambung 12 Oktober ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MaklumatkekayaanACmelaluimedia/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...