Wednesday, October 6, 2010

Terkejut diminta bayar hutang

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Seorang tukang masak yang menetap di luar negara dan pulang bercuti menjenguk keluarganya awal bulan lalu terkejut apabila diminta menjelaskan hutang sewa sebuah premis sebanyak RM3,600 yang kononnya tertunggak selama empat bulan daripada seorang wanita.

Bukan itu saja, lelaki terbabit, Chia Meng Kean, 32, turut menerima surat amaran dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memintanya menjelaskan bil tertunggak sebanyak RM2,312.37 bagi bayaran bil elektrik premis wanita terbabit di Senawang, Negeri Sembilan.

“Selama 10 tahun saya menjadi tukang masak di restoran Jepun di luar negara antaranya di Amerika Syarikat, England, Australia dan Singapura. Jarang sekali pulang ke tanah air kerana kesibukan bekerja.

“Namun, percutian saya selama dua bulan untuk melawat isteri dan anak-anak dikejutkan dengan hutang piutang yang saya sendiri tidak tahu, menyebabkan masa banyak dihabiskan untuk menyelesaikan masalah ini,”
katanya yang ditemui pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang kini menjadi tukang masak di sebuah hotel di Kepulauan Bermuda mengetahui mengenai hutang piutangnya apabila menerima surat perjanjian sewa dari pemilik premis itu yang dialamatkan ke kediaman di Cheras, di sini.

“Saya kemudian bersemuka dengan pemilik premis itu namun mereka mendakwa segala urusan penyewaan dilakukan menerusi ejen hartanah. Premis itu rupa-rupanya dijadikan kafe siber sejak setahun lalu.

“Ejen hartanah yang ditemui pula gagal mengecam wajah saya namun berkeras memberitahu dia membuat salinan kad pengenalan asal bagi surat perjanjian dan menafikan berlakunya penipuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, sepanjang tahun ini pihaknya menerima 26 aduan daripada mangsa yang mendakwa kad pengenalan mereka disalahgunakan membabitkan kerugian sebanyak RM1.88 juta.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terkejutdimintabayarhutang/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...