Wednesday, October 6, 2010

Penjara seumur hidup

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

2010/10/06

SHAH ALAM: “Kamu sengaja memenjarakan diri sendiri dengan melakukan perbuatan ini.

“Kesalahan kamu ini seperti orang yang langsung tiada pegangan agama,” kata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaki Mohd Yasin selepas menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan terhadap tiga lelaki selepas mengaku salah menculik dan merogol pelajar berusia 18 tahun, di sini, lapan tahun lalu.

Juruteknik, Norazly Alias, 30, Norlizan Miswan, 29, (kerani) dan Arwin Ahmad, 35, (jurujual) sebelum ini meminta dibicarakan tetapi memilih untuk menukar pengakuan mereka selepas mahkamah mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan.

Sehubungan itu, dalam prosiding semalam, mahkamah memerintahkan hukuman terhadap mereka bertiga bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 26 November 2002.

Mereka dihukum penjara seumur hidup dan lima rotan untuk kes culik.

Bagi kesalahan merogol, Norazly dan Arwin dipenjara 20 tahun dan 10 sebatan, manakala Norlizan menerima hukuman 10 tahun dan lima sebatan. Mahkamah juga mengarahkan hukuman bagi kesalahan culik berjalan serentak dengan hukuman kesalahan merogol.

Zaki ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, tertuduh sepatutnya boleh dihukum gantung sampai mati kerana perbuatan mereka terlalu serius selain meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa.

“Sebelum tidur, cuba kamu muhasabah diri kerana perbuatan kamu ini amat keji. “Semuanya (tertuduh) adalah anak sulung. “Saya tidak tahu apa yang kamu fikirkan (pada masa itu). Kamu patut fikirkan mengenai adik-beradik kamu,” katanya.

Mengikut tuduhan, mereka didakwa menculik gadis berkenaan bagi mendapatkan wang tebusan RM250,000 di Bulatan Melawati, di sini, jam 6.15 petang, pada 20 November 2002.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Norazly dan Arwin turut didakwa atas dua tuduhan merogol pelajar itu di rumah nombor 25, Jalan Sri Perkasa 2/6, Taman Tampoi Utara, Tampoi, Johor Bharu antara 12.30 tengah malam dan 8 pagi pada 21 November 2002.

Sementara itu, Norlizan didakwa merogol mangsa di rumah nombor 23, Jalan Pertanian, Taman Desa Rahmat, Tampoi, Johor antara jam 4 dan 6 pagi, pada 25 November 2002.

Tuduhan merogol dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Mangsa yang kini berusia 26 tahun dilihat meninggalkan mahkamah sebaik prosiding selesai. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Alfred Egin membantah rayuan mengurangkan hukuman oleh tertuduh kerana walaupun itu jenayah pertama perbuatan mereka, ia meninggalkan kesan buruk kepada fizikal dan emosi mangsa.

Pada prosiding semalam, Norazly diwakili peguam bela V Rajehgopal, Norlizan oleh V Ayasamy, manakala Arwin diwakili oleh Sreekant Pillai. Mangsa yang kini berusia 26 tahun dilihat meninggalkan mahkamah sebaik saja selesai prosiding kes itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penjaraseumurhidup/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...