Wednesday, October 6, 2010

Produk mata RM3j dirampas

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Sejumlah lebih 10,000 produk didakwa mampu mengatasi masalah penglihatan bernilai RM3 juta yang sedang dipromosi sebuah syarikat dirampas Bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Ops Mata di seluruh negara sejak Ogos hingga kini.

Difahamkan, lebih 30 rangkaian produk syarikat berkenaan diserbu dalam operasi berkenaan.

Sumber Bahagian Penguat kuasa Farmasi berkata, sehingga kini pihaknya sudah melakukan operasi dan rampasan bersepadu di seluruh negara membabitkan nilai hampir RM3 juta.

“Rampasan demi rampasan terpaksa dilakukan selepas beberapa mangsa mengadu terpedaya dengan janji manis penjual produk berkenaan yang mendakwa mata mereka akan pulih atau bertambah baik selepas menggunakan produk itu.

“Malangnya produk yang dibeli dengan harga ratusan ringgit terbabit gagal memberikan kesan positif seperti yang diingini. Malah, penjualan produk terbabit jelas tidak mempunyai asas saintifik bagi membuktikan ia berkesan untuk mengubati penyakit mata,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi terbaru, pihaknya menyerbu lima premis menjual produk terbabit yang terletak di Bandar Baru Bangi, Shah Alam dan Keramat, di sini. “Sebelum ini, serbuan turut dilakukan di Kelantan, Kedah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Sabah.

“Tindakan merampas produk itu bukan kali pertama berikutan pihak pengedar pernah diambil tindakan sama sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Eisah A Rahman sebelum ini pernah menasihati pengguna supaya tidak mempercayai sebarang kaedah alternatif atau bentuk iklan yang mendakwa boleh merawat penyakit mata.

Menurutnya, rangkaian produk itu dianggap tidak lebih sebagai produk kosmetik dan tidak boleh untuk kegunaan di dalam biji mata.

“Produk kosmetik dalam konteks ini semata-mata untuk digunakan di bahagian muka dan sekitar bahagian luar mata untuk tujuan estetika. Ia tidak sama sekali boleh digunakan ke dalam biji mata sebagai ubat titis mahupun sebagai ubat semburan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan iklan melalui media elektronik, cetak dan risalah diedarkan dalam kempen promosi beberapa syarikat mendakwa produk keluarannya dapat merawat penyakit mata seperti rabun, kerosakan saraf kerana kencing manis, mata berselaput, glaukoma dan sebagainya.

“Dakwaan sebegini tidak mempunyai asas dan bukti saintifik dari segi sains perubatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ProdukmataRM3jdirampas/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...