Monday, October 18, 2010

Saham PLUS Expressway turun

2010/10/18

KUALA LUMPUR: Saham pengendali lebuh raya bertol, PLUS Expressway Bhd di Bursa Malaysia susut selepas dagangan disambung semula hari ini.

Ia dibuka dua sen lebih tinggi pada RM4.48 tetapi 45 minit kemudiannya susut dua sen kepada RM4.44. Harga terendahnya sehingga kini pada RM4.40.

Saham syarikat itu digantung selama dua hari mulai Khamis minggu lalu bagi jangkaan rancangan untuk menswastakan PLUS Expressways Bhd.

Pada petang Jumaat, Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat tawaran tunai bagi aset dan liabiliti pemegang konsesi lebuh raya itu pada RM23 bilion atau RM4.60 sesaham bagi PLUS.

Menggunakan perantara pelaburan bersama di mana unit milik penuh Khazanah, UEM Group, akan memiliki 51 peratus dan selebihnya oleh KWSP, tawaran berkenaan tertakluk kepada kejayaan penstrukturan semula perjanjian konsesi dengan terma yang dipersetujui.

Cadangan urusniaga berkenaan dikatakan penggabungan dan pemerolehan terbesar di Malaysia sehingga kini dan berkait dengan pembentangan Bajet 2011 pada Jumaat yang tiada kenaikan dalam kadar tol bagi lebuh raya milik PLUS untuk lima tahun akan datang berkuat kuasa serta merta.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, OSK Research berkata harga tawaran pada RM4.60 itu mewakili hanya sebahagian kecil 3.1 peratus premium kepada harga dagangan akhir pada RM4.46.
Tambahan pula, harga tawaran pada diskaun lima peratus kepada harga sasaran asas OSK pada RM4.84.

"Oleh itu pada pendapat kami, harga tawaran berkenaan seharusnya lebih baik. Memandangkan keadaan defensif PLUS disertai oleh dividennya yang konsisten, harga tawaran akan kelihatan di bawah nilai PLUS," katanya.

OSK Research juga percaya tawaran, dengan "premium kawalan" di atas harga sasarannya dalam jajaran RM4.80-RM5.00 akan diterima dengan lebih baik oleh pemegang saham. - BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...