Monday, October 18, 2010

Taktik tak jadi

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/10/18

Sindiket tampal pelekat Jabatan Imigresen pada bas, van untuk seludup 87 warga Indonesia tumpas

KOTA TINGGI: Taktik sekumpulan empat rakyat tempatan menampal pelekat Jabatan Imigresen pada sebuah bas dan van untuk menyeludup 87 warga Indonesia, tidak menjadi apabila kenderaan itu ditahan dalam serbuan di persimpangan Air Tawar Lima di sini, malam kelmarin.

Empat rakyat tempatan dan semua warga Indonesia berusia 20 hingga 60 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai Imigresen Johor hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan sejak jam 6 petang hingga 12 tengah malam.

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Hamzani Abdul Jalil, berkata siasatan awal mendapati semua warga asing berkenaan termasuk 47 lelaki dan 40 wanita, memasuki negara ini melalui ‘laluan tikus’ di Tanjung Pengelih di Pengerang dekat sini.

“Mereka dipercayai dari Batam dan diseludup masuk ke negara ini dengan bantuan empat rakyat tempatan itu yang juga ejen kepada satu sindiket penyeludupan manusia.

“Berdasarkan maklumat awal yang kita terima, sebahagian daripada warga asing itu akan dibawa ke Johor Bahru manakala yang selebihnya ke Kuala Lumpur," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Hamzani berkata, tindakan berani ejen berkenaan menampal pelekat Jabatan Imigresen pada bas dan van itu membuktikan mereka sanggup berbuat apa saja bagi meraih keuntungan cara mudah.
“Kita akan siasat sama ada pelekat yang digunakan itu palsu atau tulen. Keempat-empat ejen terbabit akan direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(L) dan Seksyen 56(1)(A)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, semua warga asing berkenaan pula dihantar ke Depoh Imigresen Pekan Nanas di Pontian.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...