Monday, October 18, 2010

Suri rumah ditahan khalwat terkejut kekasih suami orang

ALOR SETAR: Seorang wanita yang masih berstatus isteri orang sanggup menyewa sebuah bilik motel di Jalan Pegawai, di sini, kelmarin semata-mata untuk memuaskan nafsu seksnya dengan seorang lelaki yang baru dikenali empat hari lalu.

Suri rumah berusia 26 tahun itu dikatakan dalam proses bercerai dengan suaminya dan mempunyai seorang anak tetapi berani berduaan-duaan dengan lelaki lain di sebuah bilik motel.


Mereka akhirnya dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dalam serbuan kira-kira jam 3 petang.


Wanita itu dikatakan terkejut apabila mengetahui pasangannya berusia 46 tahun dari Sungai Petani juga adalah suami orang dan mempunyai lima anak kerana sebelum ini, lelaki itu mendakwa masih bujang.


Wanita itu hanya mengetahui perkara itu ketika anggota penguat kuasa menyoal siasat mereka di pejabat agama sejurus selepas tangkapan.


Ketua Operasi Jaik, Md Nasir Md Dali berkata, berdasarkan maklumat diterima, anggotanya bergegas ke motel terbabit dan mendapati sebuah bilik berkunci serta tertutup rapat.


Beliau berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, pintu dibuka seorang lelaki yang mendakwa menyewa bersama `isterinya’.


“Selepas menyoal siasat pasangan itu, mereka akhirnya mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan apabila wanita terbabit mendakwa baru mengenali lelaki yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu empat hari lalu manakala lelaki itu juga mengaku sudah berkeluarga.


“Ketika ditahan, wanita itu hanya sempat memakai tuala kerana terkejut apabila pintu bilik diketuk berkali-kali oleh anggota penguat kuasa dan tidak sempat memakai baju manakala keadaan katil pula berselerak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, pasangan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, untuk dibuat laporan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut.


Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung hingga mendatangkan syak kepada orang ramai yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali.

“Kami akan melakukan pemeriksaan lebih kerap dalam usaha mencegah maksiat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/20101018013433/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...