Tuesday, November 23, 2010

Keahlian terus BN tingkatkan penyertaan politik

Saifuddin Abdullah
Nov 21, 10
3:35pm

Keputusan BN bagi membolehkan seseorang menjadi ahli BN secara terus sebagai ahli bersekutu, penubuhan Kelab Sahabat BN dan mewujudkan Kelab Rakan Muda BN akan menghasilkan dua kesan utama:

  1. memperkasa BN, dan
  2. mewujudkan iklim politik lebih terbuka.
Kedua-dua kesan ini akan menyumbang terhadap peningkatan partisipasi rakyat, khususnya belia, dalam politik tanah air.

Dari segi memperkasa BN, ketika pembangkang masih tercari-cari formula pembentukan parti gabungan dan pemimpin utama yang diterima oleh semua, BN telah melangkah ke hadapan dengan melakukan satu pembaharuan politik yang berasaskan kefahaman mendalam terhadap realiti politik kontemporari.

Keahlian terus memberi peluang kepada mereka yang tidak mahu menjadi ahli parti komponen akibat beberapa faktor untuk tetap menjadi ahli BN.

Antara faktor tersebut ialah:
  • tidak selesa menjadi ahli parti komponen yang umumnya berasaskan kaum, kerana ia bukan daripada mana-mana kaum yang spesifik akibat berkahwin campur atau hasil perkahwinan campur. Jumlah ini semakin ramai, terutamanya di kalangan belia;
  • tidak berminat dengan parti komponen yang berasaskan kaum; dan
  • tidak berminat dengan tradisi atau sistem tertentu parti komponen.
Kelab Sahabat BN memberi peluang untuk mereka yang tidak berminat menyertai parti politik secara langsung; atau tidak dibenarkan menyertai parti politik oleh perundangan/peraturan tertentu; tetapi menyokong perjuangan BN, untuk mempunyai ruang membantu BN dengan aktif.

Ini penting kerana jumlah mereka yang menyokong BN dari luar adalah begitu ramai. Kelab Sahabat BN satu pengiktirafan rasmi akan kewujudan dan peranan mereka.

Kelab Rakan Muda BN memberi peluang partisipasi belia yang belum layak mengundi tetapi ingin menghayati dan menyokong perjuangan BN.

Ini penting untuk membolehkan mereka dan BN berinteraksi; memungkinkan berlakunya pendidikan politik; dan menangani masalah ramai belia yang menjauhkan diri daripada BN, malahan politik, akibat sinisme dan skeptikal terhadap BN/politik.

Di samping itu, keahlian Kelab Rakan Muda BN yang bermula dengan umur 18 tahun boleh menyediakan set minda bagi mula memikirkan untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kini kepada 18 tahun.

Majoriti demokrasi maju telah menggunakan umur 18 tahun. Manakala Eropah sedang berdebat untuk menurunkannya kepada 16 tahun.
Hanya terdapat sedozen negara yang masih menggunakan umur 21 tahun, iaitu Malaysia, Singapura dan 10 negara kurang maju.

Di samping memberikan kelebihan kepada BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, lebih penting lagi, keputusan tersebut adalah langkah kehadapan ke arah pembinaan iklim politik yang lebih terbuka, inklusif dan segar, yang akan meningkatkan partisipasi rakyat, terutamanya belia, dalam proses politik negara.

Datuk Saifuddin Abdullah merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno dan timbalan menteri pengajian tinggi.

http://malaysiakini.com/news/148760

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...