KUALA LUMPUR, 22 Nov: Mahkamah sekali lagi menyekat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat nota-nota klinikal yang disediakan oleh tiga doktor Hospital Kuala Lumpur.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah memutuskan bahawa pasukan pembela Anwar gagal untuk memberikan sebab-sebab mengapa mahkamah harus membenarkan Anwar melihat dan mendapatkan nota-nota tersebut.
Ini kerana, kata hakim itu hari ini, hak untuk tertuduh dibekalkan dengan dokumen-dokumen yang perlu bergantung pada Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan juga pasukan pendakwaan.
Anwar memohon bagi mendapatkan nota klinikal yang direkodkan oleh tiga pakar HKL semasa pemeriksaan ke atas pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Permohonan mendapatkan nota klinikal itu timbul selepas pakar bedah am HKL, Dr Mohd Razali Ibrahim memaklumkan mengenai nota tersebut di mana pihak pembelaan sedar bahawa mereka tidak dibekalkan dengan dokumen berkenaan.
Dr Mohd Razali merupakan saksi kedua pendakwaan dalam kes perbicaraan Anwar yang sedang dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Sebelum ini, Anwar telah beberapa kali gagal untuk mendapat senarai saski dan bahan-bahan bukti untuk membolehkan pihaknya membuat pembelaan.
Mahkamah Rayuan pada 8 November lalu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintah pihak pendakwa dalam kes tersebut menyerahkan bahan bukti kepada ketua pembangkang itu yang dikatakan penting untuk pembelaannya.
Anwar dalam tulisan yang disiar di blognya http://anwaribrahimblog.com memberitahu, pihak tersebut kini sedang berselindung di sebalik dolak dalih kononnya mendakwa beliaulah yang melengah-lengahkan perbicaraan tersebut.
"Nah sudah terang lagi bersuluh kepada kita, siapa sebenarnya yang melengah-lengahkan proses perundangan dan pembicaraan.
"Mengapa gentar untuk membenarkan pasukan pembela saya memeriksa bahan bukti dan rakaman video litar?
"Barangkali takut muslihat jahat didedahkan; pecah tembelang membusuk dan memualkan," kenyataanya dipetik.
Dalam tulisan tersebut Anwar melahirkan harapan agar perbicaraan kes beliau itu berjalan lancar mengikut lunas perundangan.
Beliau juga tidak mahu proses perundangan tersebut dihalang dan dicampurtangan pihak pemerintah.
"Jangan halang proses perundangan yang sebenarnya, biarkan ianya berlangsung tanpa dicampuri dan digugat pemerintah," tulisnya lgi.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29524:mahkamah-tolak-permohonan-anwar-lihat-nota-klinikal&catid=1:utama&Itemid=50
No comments:
Post a Comment