Tuesday, November 23, 2010

Usul bincang kekeliruan Aidiladha ditolak

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Usul tergempar yang dikemukakan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub agar membincangkan isu tarikh Aidiladha yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi dewan ditolak dalam kamar.

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul di bawah perkara 18 (1) itu atas alasan ianya sudah dibincangkan sebelum ini.

Sehubungan itu, Salahuddin dalam dewan hari ini bangkit menggunakan peraturan 14 (1)(i) memohon Menteri Di Jabatan Perdana Menteri memberikan penerangan mengenai isu yang menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini.

Timbalan speaker, Datuk Ronald kiandi bagaimanapun tidak menerima permohonan itu kerana usul berkenaan telah ditolak dalam kamar.

Sementara itu, Salahuddin dalam sidang media di lobi Parlimen selepas itu memberitahu, beliau akan menghantar satu notis kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) meminta menteri atau timbalan menterinya hadir ke parlimen esok memberikan penjelasan.

"Saya bangkit tadi menggunakan peraturan 14 (1) (i) saya memohon pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri boleh menggunakan peraturan 14 (1)(i) dalam memberikan penerangan untuk mengambil tanggungjawab menjelaskan isu ini.

"Saya tak ada peluang lagi untuk membahaskan isu ini kerana perbincangan di peringkat jawatankuasa kementerian-kementerian, JPM telah selesai," kata beliau yang juga naib presiden PAS.

Beliau turut mempersoal kelewatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan kekeliruan berkenaan.

"Jakim mengeluarkan kenyataan rasmi yang disiarkan dalam semua media kerajaan pada 21 November sedangkan hari raya Aidil Adha di negara ini pada 17 November.

"Setelah saya masukkan usul ini dan disiarkan media barulah Jakim memberikan penjelasan tentang hari tasyrik dan beri penjelasan kenapa hari raya Aidil Adha berselisih dua hari dengan tarikh wukuf di Arafah.

"Saya berasa sepatutnya apabila pihak kerajaan mendapat tahu bila hari wukuf di Arafah, JPM dan Jakim mesti memberikan penjelasan kepada rakyat di negara ini paling lewat pun pada 14 November," katanya.

18 November lalu, Salahuddin mengemukakan usul berkenaan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Dalam usul tersebut, beliau mendakwa sambutan Aidil Adha pada Rabu lalu "sangat pelik, menimbulkan banyak keraguan, kekeliruan dan masalah kepada umat Islam di negara ini".


LIHAT VIDEO SIDANG MEDIA

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29529:usul-bincang-kekeliruan-aidiladha-ditolak&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...