PULAU YEONPYEONG - Korea Selatan semalam memperkuatkan pasukan tenteranya di Pulau Yeonpyeong miliknya selepas Korea Utara memberi amaran bahawa lebih banyak serangan akan dilakukan ekoran ketegangan antara kedua-dua negara yang semakin memuncak.
Pada Rabu lalu, serangan artileri Korea Utara telah membunuh empat mangsa termasuk dua anggota marin, dua orang awam dan mencederakan puluhan yang lain.
Serangan yang pertama sejak Perang Korea pada 1950-1953 itu nyata meningkatkan ketegangan selepas kedua-dua negera berdepan dengan pelbagai kejadian yang menjejaskan hubungan dua hala.
Pasukan tentera Korea Selatan dikritik media tempatan sebagai lambat bertindak dengan melakukan serangan meriam cuma 80 bedilan.
Tentera Korea Selatan kini merancang untuk menukar pendekatan pasifnya.
Menurut Setiausaha Hal-Ehwal Awam Korea Selatan, Hong Sang-Pyo, pihaknya akan meningkatkan jumlah anggota tentera di lima buah pulau di Laut Kuning selain memperuntukkan lebih banyak bajet untuk menangani ancaman tentera Korea Utara.
Akhbar-akhbar Korea Selatan menggesa tindakan balas ke atas rejim Korea Utara dilakukan manakala para penunjuk perasaan membakar bendera negara jiran mereka.
Beberapa ahli politik turut mengecam Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak ekoran serangan balas yang tidak cukup kuat oleh Korea Selatan selepas 170 bedilan meriam dilakukan tentera Korea Utara ke atas Pulau Yeonpyeong.
Semalam, Korea Utara menyalahkan jirannya itu dan AS kerana melakukan provokasi ekoran kejadian bedilan meriam itu pada Rabu lalu. - AFP
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm
No comments:
Post a Comment