Friday, November 26, 2010

Persetujuan Tuntutan Harta Sepencarian Siti Fairuz 13 Disember


Jumaat November 26, 2010

SHAH ALAM: Bekas suami kepada penyanyi tahun 80an, Siti Fairuz perlu hadir di mahkamah untuk mengesahkan terma perjanjian persetujuan yang dibuat dalam kes tuntutan harta sepencarian yang bernilai hampir RM2 juta.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Mohamad Adib Husain menetapkan 13 Disember ini untuk Mohamad Zainuddin Kordi hadir ke mahkamah bagi tujuan tersebut.

Beliau juga memberitahu, kes tersebut akan ditetapkan sebagai perbicaraan jika Mohamad Zainuddin yang merupakan pembantu teknik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) gagal hadir pada tarikh itu.

Peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman yang mewakili Mohamad Zainuddin berkata, beliau telah cuba untuk menghubungi anak guamnya, tetapi tidak berjaya.

Sebelum ini, mahkamah sama telah menetapkan 25 Mei lalu sebagai tarikh untuk merekodkan persetujuan selepas dimaklumkan perbincangan kedua-dua pihak telah berada di peringkat akhir.

Siti Fairuz diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan.

Siti Fairuz, 46, atau nama sebenarnya Siti Fairus Sheikh Mohamed yang terkenal dengan lagu Bila Ku Rindu Ku Sebut Namamu disahkan bercerai secara taklik dengan Mohamad Zainudin, 46, pada 14 Julai 2008 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, dekat sini.

Perceraian itu berlaku selepas mereka dikurniakan lima anak, iaitu Farhanah Afifah, 21, Farahiah Amirah, 19, Fadhli Asyraf, 17, Fariz Afiq, 15 dan Fakhri Aiman, 11, hasil perkahwinan yang dibina pada tahun 1988.

Ekoran perceraian itu, Siti Fairuz memfailkan tuntutan itu yang meliputi enam bidang tanah di Subang Indah, Petaling Jaya; Tiara Beach Resort, Port Dickson; Bukit Merah Lake Town, Perak; Damansara dan Sungai Buloh serta empat rumah di Mutiara Damansara, Bandar Sri Damansara dan Shah Alam.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/11/26/mstar_hiburan/20101125173057&sec=mstar_hiburan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...