Sunday, January 30, 2011

Aksi kuku besi Kaherah

PARIS: Tindakan Mesir mengekang liputan Internet dan telefon bimbit ketika kerajaan bergelut meredakan tunjuk perasaan dianggap detik paling hitam dalam sejarah.

Tindakan kuku besi rejim Presiden Hosni Mubarak itu dikecam Barack Obama, pengendali laman sesawang dan kumpulan hak asasi dunia. Pakar Trend Micro - firma keselamatan komputer ketiga terbesar dunia - Rik Ferguson, berkata kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku dalam sejarah Internet.


Pengasas bersama firma Internet Perancis Cedexis, Julien Coulon, berkata dalam tempoh 24 jam sejumlah 97 peratus trafik Internet Mesir hilang gara-gara tindakan kerajaan Mubarak.

Menurut firma AS, Renesys, empat penyedia perkhidmatan (IP) Internet utama Mesir menutup aksesnya hampir serentak dan menghalang pengguna di seluruh dunia berhubung dengan negara itu.


Bagaimanapun, satu IP dikendalikan Noor Group terkecuali daripada tindakan itu dan Renesys tidak dapat mengesahkan mengapa keadaan itu berlaku.


Noor Group menyediakan 83 laluan untuk penggunanya di Mesir.

Ketika ini 23 juta - atau lebih suku daripada jumlah keseluruhan penduduk Mesir - dianggap memiliki akses Internet secara lazim.


Syarikat Vodafone berkata, semua operator telefon bimbit di Mesir diarah menggantung perkhidmatan tiba-tiba. Jurucakap syarikat Telecom-Orange berkata, mereka diberi arahan mengejut untuk menggantung perkhidmatan berkenaan. Tindakan Kaherah itu dilihat lebih teruk berbanding Myanmar apabila junta tentera negara itu hanya menyekat Internet hanya selama beberapa hari pada 2007.

Iran pula hanya mensasarkan Facebook dan Twitter ketika berdepan protes pada 2009. - AFP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AksikukubesiKaherah/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...