KUALA LUMPUR: “Perkahwinan bukan seperti mi segera, cepat dimasak dan boleh dinikmati serta-merta,” kata pakar motivasi dan kaunseling, Dr Rubiah K Hamzah berhubung penderitaan ditanggung Alina akibat didera suami.
Menurutnya, perkahwinan adalah satu ibadat dan tuntutan agama untuk tempoh panjang, bukan didorong hawa nafsu bagi menghalalkan seks semata-mata.
“Lihat apa berlaku pada Alina dan pasangannya. Pada saya, perkahwinan mereka terlalu terburu-buru. Mereka memilih jalan singkat berkahwin di Songkhla dan kini timbul dua masalah, si suami tidak bertanggungjawab manakala si isteri menderita didera.
“Dalam hal ini, mangsa tidak boleh menyalahkan sesiapa melainkan diri sendiri. Sebab itu saya katakan perkahwinan ini satu ibadat, jika bukan niat kerana Allah, hancurlah rumah tangga itu nanti,” katanya ketika dihubungi.
Dr Rubiah berkata, masyarakat perlu sedar dan belajar daripada perkahwinan yang hanya didorong hawa nafsu, lebih-lebih lagi kes begini semakin membimbangkan.
“Saban hari, pelbagai masalah membabitkan rumah tangga terlalu mudah ditatap di media dan akhbar. Bagaikan satu trend yang tiada kesudahannya.
“Pihak berkuasa perlu memikirkan satu formula untuk menangani masalah ini supaya tidak melarat dan menjadi barah dalam masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPGSM), Musa Awang berkata, Alina sewajarnya mengambil tindakan undang-undang akibat penderitaan ditanggungnya.
Katanya, undang-undang di negara ini lengkap dan mangsa boleh mendapatkan khidmat peguam untuk memudahkannya menangani masalah terbabit.
“Bagaimanapun, daripada segi perundangan syariah di negara ini, mahu tidak mahu mereka perlu mengesahkan perkahwinan terbabit sebelum tindakan susulan dilakukan, misalnya jika ingin menuntut perceraian.
“Apapun, mereka masih boleh merujuk masalah itu kepada polis atau pihak berkuasa tertentu berikutan tindakan suami mendera mangsa,” katanya.
Selain itu, Musa berkata, masalah dihadapi Alina dan suami tidak akan timbul jika melangsungkan perkahwinan secara sah di negara ini.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perkahwinanbukanmisegera/Article/index_html
No comments:
Post a Comment