Sunday, January 30, 2011

Berderau darah

Oleh IBRAHIM ISA
ibrahim@hmetro.com.my

BATU PAHAT: “Berderau darah saya apabila melihat sekujur tubuh bayi dengan kesan darah di dalam longkang yang belum siap sedalam hampir setengah meter.

“Apabila menghampiri longkang berkenaan, saya dapati bayi lelaki itu dalam keadaan bogel dan mengereng, lengkap dengan tali pusat dan uri yang belum dipotong,” kata pekerja kontrak, Hamid Marsuki, 43 yang menemui mayat itu dalam longkang yang masih dalam pembinaan di sebuah rumah di Jalan Mekar 5, Taman Mekar, Ayer Hitam, dekat sini, semalam.


Menurut Hamid, dia merasakan ibu bapa bayi berkenaan mungkin membuang bayi itu pada lewat malam atau awal pagi semalam kerana pada jam 8 pagi hingga 10 pagi kelmarin, mereka masih menjalankan tugas membina longkang dan tembok rumah di kawasan itu.

Mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan itu disyaki dibuang tanpa belas kasihan apabila ibu bapa bayi tidak membalut kain pada bayi itu dan meletakkannya ke dalam longkang yang mengalirkan air.


Keadaan itu menyebabkan bayi berkenaan maut dipercayai akibat kesejukan atau lemas akibat air di dalam longkang.


Hamid berkata, dia melihat mayat bayi itu pada kira-kira jam 8.10 pagi ketika ingin menyambung semula tugas pembinaan longkang di kawasan rumah berkenaan.

Menurutnya, sejurus melihat jenazah berkenaan dia terus menghubungi balai polis berhampiran sebelum sepasukan polis menjalankan siasatan dan mengambil mayat bayi untuk siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Katanya, mayat bayi lelaki cukup sifat itu ditemui dengan tali pusat serta uri belum dipotong dan dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat.


Menurutnya, berdasarkan keadaan mayat, pihaknya percaya bayi itu dibuang dalam tempoh 24 jam lalu dan tiada kecederaan lain ditemui padanya.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan cuba membuang bayi, di mana jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


“Berikutan itu, sesiapa yang tahu atau melihat kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011013004322320110130043223/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...