Sunday, January 30, 2011

Pelajar kita di Kaherah jaga keselamatan

30/01/2011 6:10pm

KUALA LUMPUR – Meskipun keadaan beransur reda, para pelajar Malaysia di Kaherah, Mesir mengambil inisiatif sendiri menjaga keselamatan di kawasan kejiranan bagi mengelakkan jenayah jalanan terutama kecurian.

Seorang pelajar jurusan perubatan Universiti Kaherah, Muhammad Nasrullah Abdul Kadir, 23, berkata, para pelajar dan penduduk tempatan sama-sama berkawal terutama di waktu malam memandangkan tiada lagi polis yang berkawal di jalanan.

"Hanya ada tentera saja (berkawal) lepas rusuhan berakhir Jumaat lepas. Tapi tak di semua kawasan, hanya di tempat-tempat strategik. Maka kami perlu mengambil langkah-langkah keselamatan sendiri,” katanya ketika dihubungi dari sini hari ini.

Beliau berkata, perintah berkurung, pemotongan talian telefon serta Internet yang dikuatkuasakan kerajaan Mesir sejak Khamis telah mengakibatkan mereka tidak dapat mengetahui situasi sebenar yang berlaku di luar sana.

"Kalau nak tahu apa-apa berita kena tengok televisyen atau radio. Tapi bukan semua pelajar ada televisyen, radio pun sama. Kami bergantung sepenuhnya pada Internet. Sampai pagi ni belum ada sambungan. Cuma talian telefon saja telah pulih tengah hari semalam,” jelasnya.

Sejak Selasa lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan. – Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_07.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...