ULAMA dan pendakwah terkenal Nusantara, Almarhum Abdul Malik Abdul Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Prof Dr Hamka, dikhabarkan pernah menegur seorang kenalannya daripada menghalang seorang muslimah yang tidak menutup aurat masuk ke masjid bagi menunaikan solat.
"Biarkan, biarkan... Moga solatnya nanti akan menjadikan wanita itu taat kepada perintah agama dan akhirnya menutup aurat," Buya Hamka dikisahkan berkata.
Saya masih ingat butir bicara penceramah tentang nasihat Buya Hamka itu, tetapi tidak mengingati siapa penceramah itu dan di mana tempat dan ketikanya. Maklumlah, ceramah itu saya ikuti agak lama dahulu.
Itu cerita Buya Hamka. Bagaimana pula cara Rasulullah s.a.w. melayan karenah seorang bukan Islam yang tentulah jahil tentang ajaran Islam apabila memasuki masjid.
Hadis riwayat Bukhari ini boleh dijadikan panduan.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: "Seorang Arab Badwi telah membuang air kecil di dalam masjid, lalu orang ramai pun bangun hendak bertindak ke atasnya. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: "Biarkan dia (hingga selesai ia membuang air kecil) dan siramkan sebaldi atau segayung air ke atas kencingnya itu. Sesungguhnya kamu diperintah untuk memberi kemudahan, bukan untuk mendatangkan kesusahan." (Riwayat al-Bukhari)
Dua kisah di atas menunjukkan tingginya hikmah dan sikap toleransi Islam terhadap umat Islam (yang jahil) dan kaum bukan Islam dalam konteks mengimarahkan masjid.
Bagaimanapun ketika membaca laporan sebuah akhbar atas talian (online) tentang reaksi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang akan memanggil nazir Masjid Taman Cheras Jaya untuk menjelaskan kehadiran Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching di masjid tersebut, saya tertanya-tanya adakah ini didorong oleh kepatuhan terhadap ajaran Islam atau dorongan sentimen politik sempit.
Teo yang pernah difitnah memberikan 'tazkirah' di sebuah surau di Kajang Sentral kini dipersalahkan kerana memakai pakaian ketat dan tidak menutup aurat semasa menyertai senamrobik di pekarangan masjid oleh akhbar yang sama.
Beliau hadir atas jemputan jawatankuasa masjid terbabit.
Utusan Online melaporkan Timbalan Setiausaha Mais, Abdul Halem Hapiz Salihin akan menyiasat mengapa tindakan wakil rakyat daripada DAP itu "yang tidak menghormati adab" ketika memasuki kawasan masjid tidak ditegur oleh pihak pengurusan masjid.
Abdul Halem, seperti juga bosnya Khusrin Munawi selalu menyandarkan kenyataan mereka dengan titah Sultan; lantas secara semberono menyifatkan Teo sebagai "tidak menghormati Sultan Selangor".
Apa yang dikesalkan, Abdul Halem seperti juga pemuka-pemuka Mais yang lain terlalu cepat membuat kesimpulan tentang apa yang dilaporkan akhbar pro-BN tanpa mahu menunggu hasil siasatan. Label dan segala kecaman dihamburkan kepada Teo sedangkan wakil rakyat itu hadir atas jemputan dan berpakaian seperti mana kebiasaannya seorang wanita bukan muslim berpakaian.
Jika standard yang ditetapkan Mais mahu dipakai kepada semua pengunjung bukan Islam, pastinya majoriti pelancong yang berkunjung ke Masjid Negara dan Masjid Jamek Kuala Lumpur tidak boleh memasuki perkarangan masjid kerana tidak menutup aurat.
Alangkah moleknya bagi Mais khususnya Abdul Halem mengambil iktibar daripada hadis Rasulullah s.a.w di atas dalam menangani isu ini.
Mengapakah Teo yang sememangnya naif dalam hal ehwal aurat dan tidak ditaklifkan dengan kewajipan menutup aurat mahu dituduh sebagai tidak menghormati masjid dan tidak menghormati sultan?
Teo memang wajar diberikan nasihat agar mematuhi adab-adab ketika berada di kawasan masjid, tetapi adakah nasihat yang cuba diberikan Mais itu benar-benar disandarkan kepada hikmah atau didorong oleh sentimen politik kepartian?
Ketika Mais melarang wakil rakyat bukan Islam daripada masuk ke ruang solat masjid dan surau, ia tidak langsung menegur Ahli Parlimen BN Hulu Selangor daripada MIC daripada berbuat demikian di beberapa masjid di kawasan yang diwakilinya.
Malah amaran Mais supaya masjid tidak dijadikan gelanggang politik dipersetankan sendiri oleh Pengerusi Mais, Dato' Mohamad Adzib MOhd Isa apabila beliau hadir dalam majlis BN di sebuah masjid di Hulu Selangor.
Setiausaha Mais, Dato' Khusrin Munawi pula dilapor memujuk nazir sebuah masjid di Taman Medan, Petaling Jaya supaya membenarkan Umno negeri mengadakan majlis berbuka puasa di masjid itu dengan dihadiri Presiden Umno.
Seperti dijelaskan sebelum ini, Teo mahupun sesiapa saja perlu dinasihatkan memakai pakaian yang lebih sopan apabila berada di perkarangan masjid. Tapi teguran itu perlulah dibuat secara berhikmah kerana ia membabitkan soal dakwah dan maruah. Mais sepatutnya menggalakkan orang bukan Islam berkunjung ke masjid bagi maslahah dakwah dan bukannya terikut-ikut dengan rentak tari media massa pro-BN yang mencari kesempatan memburuk-burukkan wakil rakyat non-muslim daripada DAP dan KeADILan.
Mungkin Teo tidak memandang persoalan aurat sebagai sesuatu yang sensitif kerana ramai di kalangan umat Islam sendiri, termasuk isteri-isteri pemimpin negara tidak menutup aurat meskipun berada di kawasan masjid dan surau (lihat foto). Ini lebih memudaratkan imej Islam. Ketika kita beriya-iya meminta orang bukan Islam menjaga adab-adab ketika berada di masjid, ada di kalangan umat Islam sendiri secara terang-terangan melanggarinya!
Teguran kepada bukan Islam dalam perkara-perkara berhubung ajaran Islam perlulah dibuat secara berhikmah. Ini kerana perlakuan dan tanggapan mereka terhadap Islam turut didorong oleh tingkah laku penganut Islam terhadap ajaran Islam.
Lihat sajalah bahan penerbitan yang diterbitkan kumpulan Utusan Melayu seperti URTV dan Mangga. Adakah ia menggalakkan umat Islam supaya mematuhi ajaran Islam khususnya dalam soal menutup aurat?
Begitu juga dengan para pemimpin Melayu Islam yang begitu ghairah menghentam Teo kerana tidak menghormati adab berada di perkarangan masjid tetapi gagal menasihati anak isteri supaya mengimarahkan masjid dan mematuhi kewajipan menutup aurat (sama ada di luar atau di dalam masjid).
Hadis Rasulullah s.a.w ini wajar menjadi panduan agar kita tidak menjadi manusia yang rugi di Hari Kemudian.
Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa ia pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda: "Pada hari kiamat kelak seseorang itu akan dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah ususnya dan dia berputar-putar seperti seekor keldai mengelilingi batu kisaran. Para penghuni neraka lainnya pun menghampirinya dan bertanya: "Wahai saudara, mengapa ini semua terjadi? Bukankah saudara adalah orang yang pernah menyuruh kepada perkara makruf (kebaikan) dan mencegah perkara-perkara yang mungkar (kejahatan)?" Maka ia menjawab: "Benar, akulah yang pernah menyuruh kamu berbuat makruf dan melarang kamu berbuat kemungkaran, tetapi aku sendiri yang melanggarnya." (Riwayat Bukhari & Muslim)
---------
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyampaikan tazkirah di sebuah musolla sambil didengari para jemaah yang sebahagiannya berpakaian ketat dan tidak menutup aurat.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30203:bila-teo-sekali-lagi-berkunjung-ke-masjid&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131
No comments:
Post a Comment