Sunday, January 9, 2011

Permohonan Maaf Tiada Kaitan Teguran Terhadap Kerajaan Pulau Pinang

Ahad Januari 9, 2011

GEORGE TOWN: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Pulau Pinang (PKMMPP) menjelaskan permohonan maaf pada pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang baru-baru ini tidak berkaitan dengan teguran persatuan itu sebelum ini terhadap kerajaan negeri.

Presidennya, Datuk Muhamad Fadzill Hassan berkata permohonan itu dilakukan untuk saling memahami serta memaafkan antara satu sama lain.

"Permohonan maaf saya itu adalah atas kemungkinan terkasar bahasa sebelum ini terhadap kerajaan negeri, itu saja.

"Ini bukan bererti ia ada kaitan dengan teguran saya terhadap kerajaan negeri sebelum ini," katanya kepada pemberita, Ahad.

Beliau tampil membuat kenyataan itu selepas dilaporkan memohon maaf kepada Lim Guan Eng berhubung beberapa teguran persatuan tersebut terhadap kerajaan negeri, termasuk isu pemberian kontrak kepada kontraktor bumiputera.

Muhamad Fadzill berkata pertemuan itu jemputan Ketua Menteri bagi menyelesaikan isu 46 kontraktor Melayu di negeri tersebut yang didakwa kroni Umno.

"Dakwaan kerajaan negeri bahawa kontraktor terbabit adalah kroni Umno tidak tepat kerana terdapat kontraktor yang disenaraikan itu bukan anggota Umno," katanya.

Pada pertemuan Jumaat lepas, beliau berkata Lim telah bersetuju bahawa masalah membabitkan kontraktor berkenaan dianggap selesai.

"Selaku pertubuhan bukan kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kepentingan kontraktor Melayu Pulau Pinang, PKMMPP mengambil langkah bertemu kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah 46 kontraktor tersebut bagi membela nasib mereka," katanya.-BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/1/9/mstar_berita/20110109201613&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...