Sunday, January 9, 2011

Derita tiga beradik




MERSING - Seorang warga emas yang lumpuh dan hanya mampu mengesot kini hanya tinggal bersama seorang lagi adiknya bongsunya mempunyai masalah mental semakin tertekan apabila abang mereka dimasukkan ke hospital kerana kemalangan.

Yasin Mohamad, 58, berkata, sejak abangnya Zahid Mohamad, 62, dimasukkan hospital sejak tiga hari lalu, dia tidak makan kerana tidak mampu bergerak akibat kecacatan dialami sejak terbabit dalam kemalangan tiga tahun lalu.

“Sejak abang dimasukkan ke hospital, saya tidak makan apa-apa lagi. Saya tidak bergerak seperti orang lain.

“Ketika muda dulu saya bekerja sebagai penarik beca untuk menyara hidup. Tetapi malang menimpa apabila terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan saya tidak boleh berjalan dan menguruskan diri seperti orang lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Baru Air Tawar, di sini.

Sejak itu, hidup Yasin dan adik bongsunya hanya bergantung kepada pendapatan abangnya yang bekerja sendiri.

“Kini, abang di hospital dan tiada siapa yang menjaga saya serta memberi makan saya,” katanya yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik.

Yasin juga memberitahu, ada kalanya dia tidak makan langsung pada hari tertentu kerana abangnya bekerja tidak menentu. Manakala adik bongsu selalu merayau-rayau tanpa sebarang penjagaan.

“Tambahan pula, saya tidak mempunyai kemampuan untuk membeli kerusi roda untuk bergerak ke mana-mana. Bukan untuk membeli kerusi roda, untuk membeli sesuap nasi pun tidak mampu,” katanya.

Dia juga berharap agar nasib malang yang dialaminya bersama dua beradiknya mendapat perhatian daripada pihak dan masyarakat luar.

Sementara itu, seorang lagi abangnya, Ali Mohamad, 63, memberitahu dia tidak terdaya untuk menyara adik-adiknya kerana pendapatannya hanya untuk menyara keluarga.

Tambahan pula katanya, waktu kerja yang terbatas menyebabkan dia tidak sempat untuk menguruskan tiga beradik tersebut.

“Saya bekerja sebagai pe­ngawal keselamatan dan waktu kerja adalah selama 12 jam. Jadi, saya hanya sempat menjenguknya sahaja,” katanya.

Seorang penduduk, Kamariah Yusof, 52, berkata, dia amat simpati dengan nasib yang dialami tiga beradik tersebut dan meminta agar ada pihak yang tampil menghulurkan bantuan.

Rumah yang didiami tiga beradik ini yang terletak kira-kira 100 meter dari jalan raya menghala ke Endau itu dipenuhi semak-samun yang menyukarkan pandangan orang ramai.

Kepada sesiapa yang ingin memberi bantuan boleh ke alamat Kampung Air Tawar baru, Endau, Mersing atau di talian 017-785 4766.

http://www.sinarharian.com.my/sh/johor/content/story8597438.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...