KUALA LUMPUR, 9 Jan: MPP Gabungan Mahasiswa UKM (MPP GMUKM) merasa bimbang serta khuatir dengan 'trend' kenaikan harga barangan khususnya barangan runcit rumah yang semakin hari semakin tidak terkawal.
Kenyataan itu merujuk akhbar Berita Harian semalam bertajuk 'Harga bawang melambung, stok minyak masak kurang'.
Menurut kenyataan yang diemelkan kepada Harakahdaily, mahasiswa selaku jurubicara rakyat melihat perkaitan antara harga minyak petrol dan diesel yang dinaikkan bulan lepas adalah berkadar langsung dengan kenaikan barangan runcit rumah ketika ini sepertimana yang dilaporkan dalam akhbar hari ini.
MPP GMUKM memandang serius isu ini kerana ia melibatkan kepentingan bersama rakyat dan pemimpin di mana secara jelas mengikut Teori Rantaian, apabila minyak petrol dan diesel dinaikkan, maka kos tersebut terpaksa ditanggung oleh pihak peniaga.
Maka, tidak dapat tidak harga jualan barangan runcit rumah terpaksa dinaikkan mengikut keperluan.
“MPP GMUKM yang telah menjalankan kaji selidik sekitar UKM kampus Bangi dan Cheras mendapati majoriti mahasiswa UKM hari ini mengeluh dan mengaku semakin kesusutan kewangan akibat kenaikan harga barangan dan makanan yang mana rata-rata mahasiswa akan makan di kedai,” tambah kenyataan itu.
Justeru, apabila harga minyak petrol dan diesel dinaikkan makan harga barangan runcit dinaikkan, maka pengusaha kedai makan turut terpaksa menaikkan harga minuman dan makanan untuk menyerap kos yang ditanggungnya, akhirnya akibatnya jelas terpaksa ditanggung oleh golongan mahasiswa selaku pengguna akhir yang terpaksa akur suka atau tidak.
Tinjauan kaji selidik GMUKM mendapati secara purata, mahasiswa terpaksa membelanja RM5 hingga RM7 untuk satu hidangan tengah hari atau malam manakala RM3 hingga RM4 untuk sarapan.
“Isu ini telah kami utarakan kepada pengurusan universiti. Namun malangnya pihak pengurusan menjawab mereka tidak dapat membantu mahasiswa kerana kontrak dengan pihak kafe-kafe sudah dimeterai.
“Manakala untuk kedai-kedai luar universiti adalah terletak pada pengusaha kedai makan itu sendiri. Apa yang mampu dilakukan oleh pihak pengurusan universiti adalah sekadar menasihati mahasiswa untuk berjimat-cermat dan bersabar,” kata kenyataan itu lagi.
Tinjauan GMUKM juga mendapati terdapat segelintir mahasiswa yang mengambil langkah bekerja secara sambilan di luar waktu kelas untuk menampung kos sara hidup di universiti.
MPP GMUKM berpandangan perihal ini tidak perlu kerana sepatutnya pinjaman atau biasiswa yang diperoleh sepatutnya sudah mencukupi.
Ironinya perihal ini disanggah sendiri oleh rakan-rakan mahasiswa yang memaklumkan bahawa duit pinjaman atau biasiswa yang diperoleh sekadar cukup untuk makan dan belanja 'isi minyak', tetapi tidak cukup untuk membeli buku-buku rujukan dan tidak termasuk kos untuk membuat kerja lapangan di luar kelas.
"Justeru itu, kami di peringkat ahli Majlis Perwakilan Pelajar Gabungan Mahasiswa UKM (MPP GMUKM) menggesa pihak-pihak terbabit khususnya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta agensi-agensi di bawahnya untuk segera bertindak segera mengawal inflasi dengan cara mengekang sebarang kenaikan barangan primer seperti minyak gas, minyak masa, gula, tepung serta yang lebih penting minyak petrol dan diesel," ujarnya lagi.
Ini demi menyelamat dan mengekang inflasi yang semakin hari kelihatan semakin tidak terkawal di dalam negara.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30244:kenaikan-harga-barangan-runcit-tidak-terkawal&catid=1:utama&Itemid=50
No comments:
Post a Comment