Wednesday, January 26, 2011

Chinta salun sulung Fasha




KETIKA menunggu aktres Fasha Sandha ditatarias oleh jurusoleknya, pintu salunnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur diketuk. Ada pelanggan yang begitu berminat dengan perkhidmatan di premis itu.

Bingkas pelakon drama bersiri popular Chinta itu bangkit lalu menyapa individu berkenaan.

“Maaf, salun saya belum dibuka lagi, Februari nanti awak datang ya,’’ kata si cantik manis itu.

Seusai melayan kerenah tetamu itu, Fasha berkata kepada wartawan Kosmo!: “Saya rasa gembira, barangkali ini petanda baik salun ini mampu menjadi tumpuan ramai, alhamdullillah.’’

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 27, yang selama ini dikenali sebagai pelakon popular menerusi filem dan drama bersiri televisyen kini menambah satu lagi portfolio dirinya.

Daripada gelombang seni, wanita cekal itu menjana satu transformasi besar. Fasha kini adalah Pengarah Urusan Chinta Hair Salon & Beauty.

Dia sememangnya bijak memilih skop bisnes. Jelas Fasha: “Ada banyak perniagaan boleh dijalankan, akan tetapi kecantikan sinonim dengan saya. Jadi, lahirlah Chinta.”

Ketika kunjungan Kosmo! ke Wangsa Maju baru-baru ini, salun pelakon tersohor itu sudah 97 peratus siap dan akan beroperasi sekitar pertengahan atau hujung Februari ini.

Salun kecantikannya menawarkan perkhidmatan daripada memotong, mewarna hinggalah meniup kering rambut. Di samping itu, salun tersebut turut menawarkan khidmat urutan, bengkel solekan dan rawatan wajah.

Fasha juga berhasrat menjadikan salun tersebut sebagai pusat sehenti dalam berkongsi maklumat mengenai kecantikan dan penampilan dengan wanita-wanita yang meminati skop yang serupa.


UNGU dan putih menjadi dua warna yang mendominasi salun Fasha.


Kisah di sebalik Chinta

Ada cerita menarik di sebalik pembinaan jenama Chinta. Akuinya, selama setahun dia tidak menuruti nafsu membeli-belah semata-mata mahu menyimpan wang untuk pelaburan bisnesnya.

“Tiada beg berjenama, tiada barang kemas pada tahun lalu,’’ bicaranya.

Apakah elemen sebenar yang mendorong figura itu beria-ia membuka salun? Ujarnya tanpa selindung, ilham itu hadir ketika beliau menjalani penggambaran iklan Pantene bersama diva popular, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Mengapakah Fasha menamakan salun itu Chinta? Jawabnya, itu semua kerana penangan drama rantaian Chinta yang dirasakan sungguh bermakna.

“Chinta Chanduri adalah nama saya dalam drama itu. Chinta sungguh bertuah kerana dirinya tak lekang dengan kasih dan sayang. Justeru, saya mahu salun ini mempunyai aura yang sama antara saya dengan para pelanggan yang berkunjung,’’ katanya ketika ditemui di salunnya.

Disebabkan pengaruh yang sangat mendalam terhadap drama itu, Fasha meronakan warna ungu dan putih pada dekorasi salunnya. Tema warna yang sama digunakan pada montaj drama berkenaan.

Bagi rekaan dalaman yang dilihat begitu sofistikated pula, Fasha memberitahu, ideanya digembleng bersama ahli keluarga.

Wanita jelita bermata bundar itu memberitahu Kosmo!, dia membuka lembaran bisnes bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Justeru, bukan pekerja sebarangan yang diupahnya. Chinta menggunakan khidmat jurusolek terkenal, Mohd. Shahrul Azlan Abd. Rauf, 32, yang dikenali sebagai Deq Sha.

Deq Sha yang pernah menata rias nama-nama besar seperti Liyana Jasmay dan Scha Al-Yahya telah bekerjasama dengan Fasha sejak pelakon itu berusia 18 tahun.


KEPUASAN jelas tergambar pada wajah Fasha sebagai Pengarah Urusan Chinta Hair Salon & Beauty.


Fasha juga melantik pendandan rambut kegemarannya, Connie untuk memberi sentuhan gaya yang dikehendaki para pelanggannya. Selain itu, empat stafnya yang lain turut memiliki segala kemahiran tentang salun.

Justeru, ujar aktres popular itu, pertaruhan kepada bisnes tersebut bukan satu eksperimen. Sedar bahawa dirinya kosong dengan pengalaman, Fasha tidak segan bertanya kepada mereka yang telah melalui asam garam dan jatuh bangun dalam bisnes.

Jangan pandang enteng kepada dirinya kerana dia memiliki semangat dan keyakinan yang tinggi dalam menjayakan perniagaan yang diusahakan.

“Saya tak pernah fikir tentang kegagalan,’’ tuturnya yang sangat disenangi oleh pengarah drama atau filem kerana disiplin kerjanya.

Bukan salun ‘mak datin’

Pasti wujud stigma bahawa salun yang dimiliki oleh pelakon popular sepertinya hanya untuk golongan atasan atau untuk ‘mak-mak datin’.

“Oh tidak, salun saya untuk semua golongan, tak kira anda pelajar atau orang makan gaji. Harga yang saya tawarkan juga sangat berpatutan,’’ katanya yang mahu stigma itu dilontar jauh-jauh.

Meyakinkan Kosmo! bahawa kata-katanya bukan kata-kata kosong, Fasha bersungguh-sungguh memaklumkan harga bagi setiap pakej di salunnya. Misalnya, bagi servis cuci dan blow rambut, bayarannya cuma RM15.

Untuk tiga bulan pertama, Chinta mengatur strategi dengan memberi promosi sebanyak 15 peratus ke atas semua perkhidmatan.

Demi Chinta, usahawan muda itu akan mengurangkan masa berlakonnya. Katanya, dia tidak sabar untuk mengikuti kursus kecantikan selama enam bulan di salah sebuah institut untuk menajamkan skilnya.

Jadi, kepada sesiapa yang bertuah, anda mungkin berpeluang mendapat sentuhan seorang yang bernama Fasha Sandha.

Aktres itu turut percaya kepada kuasa Twitter. Sejak aktif menggunakan aplikasi Twitter setahun lalu, Fasha mempunyai lebih 54,000 pengikut.

Jelasnya, Twitter adalah satu saluran dia mengemaskini maklumat perniagaan dan menguar-uarkan kehadirannya di salun itu.

“Ia merupakan medan penghubung kepada saya dengan peminat, jadi mereka boleh sentiasa mengikuti perkembangan saya,’’ katanya.

Bagaimanapun, pelakon muda itu bersetuju bahawa kekuatan nama Fasha Sandha sendiri mampu membawa kejayaan kepada perniagaan yang dijana dengan hasil titik peluh sendiri.


DEQ SHA (kanan) banyak berbincang dan bekerjasama dengan Fasha mengenai bidang kecantikan.


Janji Fasha, dia seboleh mungkin akan memperuntukkan lebih masa di salun dan mengehadkan aktivitinya dalam bidang seni.

Namun, ia bukan petanda bekas kekasih kepada usahawan Jejai itu mahu bersara dalam dunia seni.

“Selepas ini, saya bangun pagi bukan hanya sebagai seorang artis tetapi sebagai usahawan yang menggalas tanggungjawab besar terhadap sebuah perniagaan,’’ katanya yang tidak meletakkan soal keuntungan sebagai perkara utama.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...