Thursday, January 13, 2011

Rayuan isteri kedua Syed Kechik dan anak perempuannya ditolak : Mahkamah

PUTRAJAYA - Isteri kedua Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary dan dua anak perempuannya hari ini gagal dalam rayuan mereka bagi menghalang anak lelaki hasil perkahwinan pertama Allahyarham menjadi pentadbir bersama harta pusaka berjumlah RM400 juta.

Hakim Datuk Wira Low Hop Bing yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan berkata keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak Syed Gamal sebagai pentadbir bersama harta pusaka ayahnya adalah tepat.

Beliau berkata, mahkamah berpendapat pertelingkahan antara Syed Gamal dan keluarga tiri iaitu Puan Sri Sofiah Moo Abdullah, 67, dan anaknya Puan Sri Sharifah Zarah, 42, serta Sharifah Munira, 44, bukan alasan yang wajar untuk menghalang Syed Gamal menjadi pentadbir bersama.

Low berkata, dakwaan Sofiah dan anaknya bahawa Syed Gamal tidak berpengetahuan dalam perniagaan bapanya serta beliau (Syed Gamal) gagal dalam perniagaan pakaian serta penjualan sebuah kereta Mercedes selepas itu, bukanlah alasan yang sah untuk menyingkirkan haknya untuk dipertimbangkan sebagai pentadbir bersama.

"Kejayaan dan kegagalan dalam hidup, perniagaan atau aktiviti lain adalah satu perkara yang subjektif. Kejayaan bukanlah sesuatu yang muktamad.

Kegagalan juga bukan suatu kecelakaan.

Apa yang penting ialah kegigihan untuk terus berusaha," katanya.

Turut bersidang Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azahar Mohamed, yang mencapai keputusan sebulat suara bagi menolak rayuan Sofiah dan anaknya, serta mengekalkan perintah Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng pada 30 Julai lepas bahawa harta pusaka Allahyarham Syed Kechik hendaklah ditadbir secara bersama oleh isteri dan tiga anaknya.

"Pada pendapat kami, Seksyen 30 Akta Probate dan Pentadbiran 1959 memperuntukkan hak semua pihak yang berkepentingan untuk dilantik sebagai pentadbir harta pusaka si mati.

"Kami gagal mencari sebarang kesilapan yang dilakukan Pesuruhjaya Kehakiman itu dalam memutuskan untuk melantik semua perayu (Sofiah, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira) serta responden (Syed Gamal) sebagai pentadbir bersama harta pusaka Allahyarham," katanya.

Panel itu turut memerintahkan Sofiah dan anaknya membayar kos guaman sebanyak RM40,000 kepada Syed Gamal.

Syed Gamal, 46, seorang pemilik kafe siber, merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik hasil perkahwinan Allahyarham dengan Zainab@Eshah Abdullah.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik ketika berusia 80 tahun pada 10 April 2009 tanpa meninggalkan wasiat.

Syed Kechik ialah bapa mertua pengerusi Yayasan Al-Bukhary Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang tersenarai antara orang terkaya di negara ini.

Pada 15 Sept 2009, Sofiah dan anaknya memfailkan petisyen memohon supaya mereka diberikan surat kuasa mentadbir harta pusaka Allahyarham.

Syed Gamal kemudian memfailkan permohonan kaveat pada 14 April 2009 bagi menghalang keluarga tirinya itu dilantik sebagai satu-satunya pentadbir harta pusaka Syed Kechik.- BERNAMA

http://www.sinarharian.com.my/bterkini/8471.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...