KOTA BHARU, 3  Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui  Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang bijak dan mencadangkan kebijakasanaan  beliau itu digunakan untuk Islam.
"Nasihat saya kepada Tun Mahathir,  sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan  yang dijanjikan oleh Allah SWT," kata Nik Aziz dalam satu tulisan khasnya  bertajuk "Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir."
Beliau  menjawab serangan Mahathir kepada beliau ekoran keengganan Nik Aziz turut  menyerang Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang meminta umat Islam  mengurangkan keislaman mereka.
"Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk  menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh Umno. Saya diajak untuk turut  sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan Umno. Padahal, apa yang berlaku di  seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew,"  kata Nik Aziz dalam tulisannya itu.
Berikut adalah tulisan Nik Aziz  sepenuhnya.
Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun  Mahathir
Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan  berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan  kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk  percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak  bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya  semata-mata.
Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja,  tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di  mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT  satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang  dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang  keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh  malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang  kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya.
Firman Allah SWT yang  bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas  mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat  24
Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang  gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew  seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih  dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.
Pertama saya ingin  nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme.  Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini.  Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan  berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi.
Jikapun ada, hanya  sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun  pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting  sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir  mereka.
Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri  kepada Allah SWT.  Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT  siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya.
Firman Allah SWT yang  bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk  menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik  amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha  Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat  2)
Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup  sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru  manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan  ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada  lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya.
Ingin saya  bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah  UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar  perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu  amal soleh?
Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan  mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO  menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta  al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik  peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan  soleh?
Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca  pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO  diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.
Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden  UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini  dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah  dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika  dahulu.
Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah  satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia.
Allah  SWT berfirman yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian  dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua  disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu  masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)
Perpecahan telah digazetkan  oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku  apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW  datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa  dengannya.
Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy  pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai  pemecah belah dengan kata-katanya yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa,  kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!
Adakah benar baginda  merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila  membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Dari  zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan  Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi  orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di  Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud  Samad digulingkan dari pintu belakang?
Di Kelantan, mereka juga menculik  lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh  Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh  bekas  wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar  Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan  perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO?
Episod-episod kezaliman ini  masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api  permusuhan lama  jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk  memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan  dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.
Di zaman Tun Mahathir,  siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun  2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya  orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?
Siapakah yang  bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali  bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa  sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?  Siapakah  yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang  kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?
Hari ini,  UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan  kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan  tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar.
Peliknya, juara  Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di  Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti  cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta  menubuhkan  Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak,  federalism pun tidak, Islam jauh sekali!
Apa yang lebih penting, Islam  tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang  beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana  seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang  beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.
Jika  Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka  Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang  dikenali sebagai Masjid Dhirar.
Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO  berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud  sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah  arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak  tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati  sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan. 
Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya  lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk  apa kami dilawan?
Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak,  dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada  Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari  pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Jika saya ditanya adakah saya  telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan  aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan  menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)
HAJI NIK ABDUL AZIZ  BIN NIK MAT
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.
Bertarikh : 29 Safar  1432H / 2 Februari 2011
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30679:-dr-mahathir-seorang-yang-bijak-nik-aziz&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124
No comments:
Post a Comment