Thursday, February 3, 2011

Pemerintah Mesir perlu dengar tuntutan rakyat

Muhamad Razak Idris

Dunia Timur Tengah kini dalam keadaan bergolak. Sejak sebulan yang lalu, masyarakat antarabangsa telah dikejutkan dengan peristiwa bantahan dan tunjuk perasaan terbuka rakyat di negara Tunisia dan Mesir terhadap pemerintah dan kerajaan mereka. Tunjuk perasaan dan bantahan tersebut adalah satu bentuk gambaran tentang ketidakpuasan hati dan kekecewaan masyarakat terbanyak di negara tersebut terhadap tatakelola kerajaan terutama di dalam proses urustadbir negara yang lemah dan menekan sehingga rakyat terbanyak tidak mendapat ruang kebebasan dan pembelaan di dalam aspek kebajikan dan pembangunan kehidupan harian.

Pada 1 Febuari 2011 yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menganjurkan Forum Isu Semasa: Analisis Perkembangan Terkini di Timur Tengah. Dua orang pakar di bidang sejarah dan gerakan Islam iaitu Prof. Dr Mohammad Redzuan Othman, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, Pengerusi Suruhanjaya Sosial, Kemanusiaan dan Perpaduan, Kesatuan NGO-NGO Islam Sedunia (UNIW) telah memberikan pandangan mereka terhadap kemelut yang sedang dialami Timur Tengah terutama sekali pergolakan yang terjadi di Tunisia dan Mesir.

Kefahaman yang diperolehi dari forum tersebut ialah kemelut yang berlaku di Timur Tengah ini merupakan satu akibat dari perlakuan pemerintahan di kedua-dua negara yang bercorak menindas masyarakat terbanyak. Banyak kajian berkaitan tentang kehidupan rakyat Timur Tengah menunjukkan mereka telah mengalami proses tekanan terhadap kebebasan dan hak-hak asasi mereka dalam satu tempoh yang terlalu lama oleh satu sistem pemerintahan yang bersifat diktator dan autokratik. Corak pemerintahan ini menyebabkan sistem rakyat berada di dalam ketakutan manakala pemerintah pula bebas menentukan dasar pentadbiran tanpa menerusi proses check and balance atau penilaian dan perseimbangan secara terbuka dan telus. Demokrasi yang seharusnya menjadi sistem ke arah mewujudkan penyertaan rakyat terbanyak di dalam pembangunan negara runtuh. Ia dilaksanakan hanya sekadar satu bentuk permainan kepada dunia tentang amalan demokrasi yang dipertahankan namun secara hakikat tidak menepati sebuah amalan yang adil dan saksama.

Ternyata sebuah pemerintahan yang bercorak tertutup sebegini dan ruang demokrasi dan kebebasan terhadap rakyat disekat akan menyebabkan terjadinya satu kerosakan dan keruntuhan keyakinan yang parah rakyat terhadap pemimpin dan kekuasaan kerajaan. Di dalam keadaan sebegini, rakyat yang seharusnya menjadi rakan bagi proses pembangunan dan kemajuan negara telah bertukar peranan dan tanggungjawab mereka menjadi musuh kepada negara. Penglibatan rakyat yang minimum di dalam pembangunan negara menyebabkan sesebuah negara mengalami keruntuhan dalaman secara beransur-ansur dan ini tergambar menerusi perolehan pendapatan yang rendah, rasuah yang berleluasa, kadar inflasi yang tinggi dan pengganguran yang berleluasa. Ini menyebabkan rakyat terbanyak hidup di dalam kemiskinan dan kebajikan hidup tidak terbela.

Pada pandangan kita, kedudukan rantau Timur Tengah amat penting dalam konteks dunia Islam hari ini. Timur Tengah mempunyai peranan yang strategik di dalam konteks pembangunan Ummah yang kuat pada masa depan. Menerusi sumber manusia dan alam yang ramai dan mewah, umat Islam Timur Tengah berpotensi sebagai kelompok penting yang boleh menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuraan dunia seluruhnya. Namun, proses ini menuntut satu perubahan menyeluruh di dalam sistem kehidupan mereka dan rakyat terbanyak harus terlebih dahulu berada di dalam kehidupan yang aman dan stabil.

Sehubungan dengan itu, kita berpendapat, jalan keluar dari kemelut bantahan dan kekecewaan rakyat yang dialami masyarakat Timur Tengah ini hanya dapat diatasi apabila corak pemerintahan kerajaan mereka memberi penekanan langsung dan segera terhadap hak-hak dan penyertaan rakyat di dalam proses pembangunan negara secara bermakna. Untuk itu, demokrasi dan penghormatan terhadap hak asasi rakyat adalah asas bagi membina kekuatan kembali.

Bagi tujuan ini, para pemerintah di rantau Timur Tengah harus menggerakkan proses pembaharuan politik secara radikal dengan memberikan kembali hak menentukan arah tuju kepimpinan kerajaan kepada rakyat terbanyak. Manakala seluruh kerajaan yang ada hendaklah meningkatkan tahap tatakelola pemerintahan secara cekap, adil dan saksama bagi memastikan seluruh rakyat mendapat hak dan peluang yang sama di dalam kehidupan terutama di dalam aspek pendidikan, perumahan dan pekerjaan.

Tanpa reformasi secara radikal ini, kita beranggapan krisis dan kemelut di Timur Tengah akan berterusan. Kita menyeru kepada pemerintah di Mesir terutamanya mendengar tuntutan rakyat dan memberikan hak kepada mereka menentukan kepimpinan negara menerusi proses pilihanraya terbuka dan adil dalam kadar segera.

DR MUHAMAD RAZAK IDRIS

Presiden,

Angkatan Belia Islam Malaysia.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30678:pemerintah-mesir-perlu-dengar-tuntutan-rakyat&catid=94:global2&Itemid=135

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...