TEMERLOH, 14 Feb: PAS Pahang menyifatkan Rang Daftar Pemilih  Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 yang sedang dipamerkan pada masa ini mengalami  pertambahan bilangan pengundi yang menakjubkan terutama di Parlimen  Pekan.
Setiausaha Perhubungan PAS Pahang Roslan Zainal berkata, untuk  suku tahun keempat sahaja terdapat pertambahan sebanyak 26,000 pengundi iaitu  hanya dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu.
Sedangkan katanya,  untuk tempoh tiga penggal (9 bulan) sebelum itu jumlah pertambahan pengundi  hanya sekitar 29,000 sahaja.
“Bagi PAS Pahang ini amat menakjubkan kerana  bagi tiga bulan terakhir sahaja hampir menyamai pendaftaran sembilan bulan,”  katanya.
Menurut Roslan, paling menghairankan ialah pertambahan lebih  6,000 pengundi baru dalam masa tiga bulan itu di Parlimen Pekan yang diwakili  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Setelah disemak kita dapati  pengundi-pengundi di pos-pos Orang Asli naik mendadak terutama di Parlimen Pekan  dan Cameron Highlands. Selain itu kita dapati ramai pemilih-pemilih yang  beralamat negeri Kedah terdapat di Pekan.
“Bagi PAS Pahang ini amat  mencurigakan. Ini ditambah lagi dengan proses semakan dan bantahan dianjakkan  sehingga hampir dua minggu, sedangkan keadaan seperti ini tidak pernah terjadi,”  katanya.
Kata Roslan, PAS Pahang berpendapat senario ini mungkin satu  agenda bagi mengekalkan Najib di Pekan setelah merasa kurang  selamat.
Tambahnya, jika ini benar ia hanya mengulangi proses penambahan  pengundi pada 2003 di mana semasa persempadanan semula kawasan pilihan raya  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebahagian kawasan Parlimen Paya Besar dibawa ke  Pekan dengan melibatkan dua buah kem tentera.
“Oleh yang demikian PAS  pahang berpendapat sistem daftar pemilih SPR yang ada ini sudah lapok dan patut  diganti setelah 53 tahun merdeka.
“Kerajaan pernah mendakwa mykad negara  ini antara yang tercanggih di dunia jadi sepatutnya SPR boleh bekerjasama sengan  Jabatan Pendaftaran Negara bagi membuat pandaftaran secara automatik apabila  setiap warganegara berusia 21 tahun,” katanya.
Roslan juga turut menggesa  sistem undi pos sekarang dihapuskan kerajaan jika benar dakwaan mereka bahawa  negara ini selamat.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30863:peningkatan-pengundi-melampau-di-pekan&catid=1:utama&Itemid=50
No comments:
Post a Comment