Thursday, March 10, 2011

Dewan Rakyat: PKR Desak SPRM, LHDN Siasat Gobalakrishnan

Published: Khamis Mac 10, 2011 MYT 3:46:00 PM

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat mengenai kemampuan kewangan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan menjelaskan bayaran pajakan tanah di Kelantan bernilai RM1.4 juta.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mendakwa, pihaknya mempunyai bukti berupa dua salinan cek Hong Leong Bank masing-masing bernilai RM700,000 bertarikh 12 Januari 2011 dan RM701,250 bertarikh 15 Mac 2011.

Menurut Saifuddin, kedua-dua cek berkenaan bagi menjelaskan bayaran pajakan tanah seluas 40.47 hektar di Lojing, Kelantan di antara syarikat milik Gobalakrishnan iaitu Embun Megah Sdn Bhd dengan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad.

"Adalah aneh secara tiba-tiba Ahli Parlimen Padang Serai dapat menjelaskan bayaran berkenaan sejurus selepas keluar parti dan berterusan menyerang PKR.

"Dari mana sumbernya, siapa yang bermurah hati menolong, urusniaga apa yang dilakukan beliau hingga memungkinkan wang sebanyak itu diperolehnya?

"Januari dan Mac adalah kemuncak tempoh serangan, kecaman dan fitnah Gobalakrishnan terhadap PKR dan ketika ini jugalah beliau secara tidak semena-mena mampu membayar RM1.4 juta untuk bayaran tanah ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Gobalakrishnan mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas pada 29 Januari lalu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu yang dianggap gagal menyelesaikan masalah kaum India.

Selain itu Saifuddin mendakwa, PKR mengesyaki pengkhianatan beberapa Ahli Parlimennya yang bertindak keluar parti adalah atas dorongan habuan lumayan.

Sementara itu, pada sidang media berasingan, Gobalakrishnan menafikan menerima wang berjumlah RM1.4 juta seperti yang didakwa Saifuddin.

Malah beliau turut bersedia disiasat oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan berkenaan.

"Saya sedia untuk disiasat pada bila-bila masa. Saya tidak pernah menerima apa-apa bayaran berjumlah RM1.4 juta daripada mana-mana pihak seperti yang dikatakan mereka.

"Anda boleh periksa tandatangan saya, malah saya tak ada tunaikan apa-apa cek lagi pada tahun ini," katanya.

Menurutnya lagi, syarikat Embun Megah Sdn Bhd yang dimaksudkan Saifuddin bukan miliknya.

"Syarikat itu bukan milik saya, sebaliknya keluarga saya mempunyai kepentingan di dalamnya, bukan saya," katanya.


http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/3/10/mstar_berita/20110310154427&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...