Thursday, March 10, 2011

Pihak berkuasa Indonesia acu senjata

PONTIAN: Cubaan untuk berunding bagi membebaskan tujuh nelayan tempatan yang ditahan Polisi Air (PolAir) Indonesia di kedudukan 12.5 batu nautika dari perairan Senggarang, berhampiran Tampok, Pontian Besar di sini, petang kelmarin, hampir mencetuskan ketegangan apabila pihak berkuasa negara jiran itu mengacukan senjata ke arah anggota Polis Gerakan Marin (PGM).

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, empat anggota PGM diacukan senjata selepas diarahkan beredar oleh kira-kira 20 anggota PolAir terbabit, menyebabkan rundingan untuk membebaskan nelayan terbabit serta dua bot pukat tunda menemui jalan buntu.


Berikutan bimbang berlaku perkara tidak diingini, anggota PGM terpaksa membiarkan nelayan dan bot pukat tunda berkenaan dibawa ke perairan Indonesia. Perkara berkenaan terdedah selepas rakaman kejadian disaksikan ahli keluarga nelayan terbabit.

Dua kumpulan nelayan tempatan itu membabitkan tekong bot pukat tunda bernombor pendaftaran JHF7281B, Ibrahim Mohd Kassim, 28, dan tiga awak-awaknya, Redzuan Aris, 35, Mohamad Zamri Hambali, 26, dan Subani Samsuddin, 40-an, yang juga warga Indonesia.


Tiga lagi nelayan diketuai tekong, Zainodin Adam, 53, dan dua awak-awak, Rosli Ab Kassim, 34, dan Jamil Md Top, 53, pula menaiki bot pukat tunda bernombor pendaftaran JHF6963B.


Abang kepada Ibrahim, Tahir, 44, berkata kedua-dua bot pukat tunda itu belayar dari Pangkalan Pontian Besar pada kira-kira jam 2 petang dan dijangka pulang hari ini.

“Saya dimaklumkan berkaitan kejadian menerusi rakan yang menerima panggilan telefon daripada Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) ketika kami ingin mendapatkan pengesahan berkaitan kejadian itu.


“Saya difahamkan, sebaik PolAir menghampiri bot Ibrahim pada kira-kira jam 5 petang, dia mencari kedudukan bot menerusi sistem penentu kedudukan global (GPS) dan mendapati mereka berada di kedudukan latitud utara 01’26.958, longitud timur 103’04.046, iaitu masih dalam perairan Malaysia.

“Selepas itu, Ibrahim terus menghantar SMS kepada pegawai APMM sebelum pegawai berkenaan menghubungi seorang daripada nelayan di darat bagi mendapatkan kepastian sama ada terdapat kumpulan nelayan berada di sekitar lokasi itu.


“Mendengar kejadian itu, seorang daripada rakan di jeti terus menghubungi PGM sebelum pasukan berkenaan ke lokasi dari pangkalan mereka di Kukup,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PihakberkuasaIndonesiaacusenjata/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...