Thursday, March 10, 2011

Kajian banjir sekadar melepas batuk di tangga?

Ahmad Danial

MELAKA, 10 Mac: Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Yusof Wahab (gambar) kesal dengan tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka yang menolak usul berkaitan dengan banjir yang dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong pada persidangan Dun Melaka semalam.

Khoo yang bangun membentangkan usul yang meminta Dun mengarahkan kerajaan negeri menubuhkan jawatakuasa yang terdiri dari pakar-pakar terkemuka bagi menyiasat punca sebenar kejadian banjir yang berlaku Januari lalu.

Usul tersebut disokong oleh Adun Bachang, Lim Jak Wong.

Yusof berkata, Dun Melaka sepatutnya membincangkan usul tersebut kerana ianya amat penting lebih-lebih lagi banyak tohmahan dilemparkan kepada kerajaan Melaka tentang kejadian banjir pada Disember 2006 dan Januari 2011 itu.

Katanya, kerajaan negeri sepatutnya membentangkan secara terperinci punca kejadian banjir tersebut dan langkah yang telah, sedang dan akan diambil bagi mengatasi masalah itu.

“Walaupun Ketua Menteri menyatakan bahawa kajian pakar telah diadakan pada 2008 tetapi rakyat melihat ianya tidak memberikan sebarang kesan kerana banjir kilat terus berlaku dari masa ke semasa, malah banjir besar berlaku lagi Januari lalu,” ujar Yusof.

Menurutnya, apakah kajian itu sekadar melepaskan batuk di tangga kerana ianya tidak memberikan kesan yang baik di mana banjir terus berulang dan menjadi trauma kepada rakyat di kawasan terbabit.

Beliau berkata, sepatutnya kerajaan negeri bersedia membentang hasil kajian tersebut ataupun bersedia untuk berbahas di Dun bukannya menolak usul yang sepenting ini begitu sahaja.

Katanya lagi, jawapan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bahawa hujan lebat di Tampin menyebabkan banjir pada Januari lalu adalah jawapan yang tidak berfakta dan tidak dapat diterima tanpa bukti-bukti dan data-data lengkap yang meyakinkan.

“Apakah kejadian pada 2006 dan Januari lalu disebabkan hujan lebat di Tampin dan apa tindakan kerajaan negeri kalau hujan lebat turun lagi?” soalnya.

Beliau berkata jawapan sambil lewa dan tidak serius Ketua Menteri itu membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak serius menangani isu berkenaan yang sebenarnya amat menyusahkan rakyat.

“Takkan dengan RM200 yang diberikan kepada mangsa banjir dapat mengubat kesusahan dan keletihan serta trauma rakyat,” tambahnya.

Banjir telah melanda negeri Melaka dengan teruk pada Disember 2006 dan Januari lalu sekali lagi beberapa tempat khasnya di Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah telah dilanda banjir.

Ali pada persidangan Dun semalam bangun menjawab usul yang dibentangkan oleh Khoo Poay Tiong atas alasan kajian pakar telah dijalankan pada tahun 2008 iaitu selepas kejadian banjir 2006.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31294:kajian-banjir-sekadar-melepas-batuk-di-tangga&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...