Friday, April 1, 2011

Gadis hidap barah tulang perlu RM18,000

KUALA LUMPUR: Impian seorang gadis untuk bergelar pendidik terpaksa ditangguhkan selepas disahkan menghidap penyakit barah tulang belakang yang mula dikesan sejak awal bulan lalu.

Nurarina Mohd Shapii, 22, yang kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) memerlukan bantuan sebanyak RM18,000 bagi menampung kos rawatan dan pembedahan akan dijalankan dalam tempoh terdekat.


Ibunya, Asmah Sandrang, 46, berkata penyakit anaknya mula dikesan ketika anaknya mengerang kesakitan selepas bangun daripada tidur dan tidak mampu untuk bergerak menyebabkannya bertindak menghantar anaknya ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

“Arina dibawa ke PPUKM selepas menjalani pemeriksaan rapi di hospital Johor Bharu dan doktor mengesahkan dia menghidap penyakit barah tulang belakang pada tahap kritikal yang memerlukan pembedahan segera bagi mengeluarkan ketumbuhan itu.


“Saya mengharapkan Arina akan kembali sihat seperti biasa selepas menjalani pembedahan. Kami sekeluarga akan terus memberikan semangat dan sokongan agar dia dapat melawan penyakit yang menyerangnya ini selain merayu bantuan daripada orang ramai,” katanya ketika ditemui di PPUKM, di sini, semalam.


Asmah seorang peniaga makanan dari Johor Bharu memperoleh pendapatan sekitar RM600 sebulan manakala suaminya, Mohd Shapii Mayuni, 52, lumpuh separuh badan sejak dua tahun lalu dan kini tidak lagi mampu untuk bekerja.

Sementara itu, Pensyarah Ortopedik dan Pembedahan Tulang Belakang, Fakulti Perubatan PPUKM, Dr. Mohd Hisam Muhamad Ariffin, berkata penyakit barah tulang belakang yang dihidapi pesakit hingga menekan saraf tunjang menyebabkannya lumpuh separuh badan.


Menurutnya, pembedahan segera untuk mengeluarkan ketumbuhan di tulang belakang dan menggantikannya dengan menggunakan skru khas akan dijalankan dan proses pembedahan ini akan memakan masa hampir empat atau lima jam.

Orang ramai yang ingin menderma boleh memberi sumbangan melalui cek atau wang pos atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd dan alamatkan sumbangan anda ke Bahagian Kewangan/ Tabung Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GadishidapbarahtulangperluRM18_000/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...