Friday, April 1, 2011

Mangsa ragut tak kenal keluarga

LANGKAWI: “Hati saya sebak tatkala isteri asyik bertanya keadaan anak (bongsu) setiap kali kami menziarahinya di hospital sedangkan anak kami (Nur Alia Khalisa, tiga bulan) ada dibawa bersama dan ada di depannya.”

Begitu kata jurujual, Sulaiman Berhan, 26, yang tabah menjaga dua anak kecil mereka selepas isterinya, Zanirah Md Amin, 28, terlantar di Hospital Langkawi dan turut berhadapan risiko cacat seumur hidup apabila dipukul peragut.


Dalam kejadian kira-kira 11 pagi pada 8 Mac lalu, mangsa ditemui terbaring dan pengsan di sisi motosikalnya oleh dua pelancong asing di Jalan Kampung Kubang Badak, Mukim Ayer Hangat, ketika dalam perjalanan ke rumahnya di Kampung Kelubi, di sini.

Akibat kejadian itu, ibu muda yang baru habis berpantang selepas melahirkan anak kedua, koma enam hari dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Langkawi.


Sulaiman berkata, selepas kira-kira sebulan dirawat di hospital berkenaan, keadaan kesihatan isterinya belum pulih sepenuhnya, malah dibimbangi bakal berhadapan risiko cacat seumur hidup selain daya ingatannya amat lemah.


Menurutnya, isterinya baru mula mengenali ahli keluarga sejak seminggu lalu dan sebelum ini perangainya seperti kebudak-budakan selain kerap meracau.

Katanya, kehidupan mereka tiga beranak termasuk seorang lagi anak lelaki, Mohd Amirul Hakimi, 3 tahun, juga tidak menentu disebabkan dia terpaksa bekerja untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga selain melawat isterinya yang terlantar di hospital.


“Sebelum ini, isteri yang bekerja sebagai ejen barangan kosmetik seorang yang cergas dan peramah, tetapi kini dia tidak bermaya, pendiam dan hampir hilang ingatan. Saya dan ahli keluarga bergilir-gilir menjaganya seperti bayi.

“Saya amat sedih melihat keadaan kesihatan isteri kerana belum pulih, tetapi saya sentiasa berdoa supaya dia kembali seperti sedia kala kerana kami amat memerlukannya,” katanya.


Sulaiman berkata demikian ketika ditemui apabila Ketua Pemuda Umno Langkawi, Nor Saidi Nanyan bersama 10 ahli jawatankuasanya mengunjungi Zanirah di Hospital Langkawi untuk memberi sokongan moral dan menyampaikan sumbangan hamper makanan, semalam.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mangsaraguttakkenalkeluarga/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...