Friday, April 1, 2011

Peragut tendang wanita

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 24 tahun bukan saja kerugian RM1,000, malah cedera pada tangan dan kaki selepas terjatuh kerana ditendang seorang daripada dua peragut yang meragut beg tangannya di Taman Sri Rampai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang bersendirian dalam perjalanan ke pejabatnya selepas keluar makan tengah hari di sebuah restoran berhampiran.


Menurut sumber, mangsa dihampiri dua lelaki menunggang sebuah motosikal sebelum seorang daripada suspek bertindak meragut beg tangannya.

“Tersentak dengan itu, mangsa cuba merampas semula beg tangannya menyebabkan seorang daripada suspek bertindak menendang tubuhnya.


“Akibat tendangan kuat itu, mangsa terjatuh sebelum kepalanya terhantuk di jalan,” katanya.


Sumber berkata, kedua-dua suspek memecut motosikal meninggalkan kawasan berkenaan.

“Mangsa yang mendapat bantuan orang ramai dibawa ke klinik berhampiran namun dilaporkan hanya cedera ringan pada kepala, kedua-dua tangan dan kaki,” katanya.


Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.


http://www.hmetro.com.my/articles/Peraguttendangwanita/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...