Friday, April 1, 2011

Noktah isu Bun

Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

ERAT...Chong Wei kian serasi bersama Seu Bock.
ERAT...Chong Wei kian serasi bersama Seu Bock.

ESOK hari penentu sama ada jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek akan kembali melatih Datuk Lee Chong Wei atau sebaliknya kerana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan memberi masa tambahan selepas sabar menanti jawapan selama tiga bulan.

Timbalan Presiden BAM, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah berkata, mesyuarat Ahli Majlis itu akan membuat keputusan muktamad dan tidak akan berkompromi lagi.


“Banyak agenda akan dibincangkan esok, antaranya sudah tentu masa depan jurulatih Misbun Sidek yang meletak jawatan. Semua pendapat ahli majlis akan dikumpul tapi yang pasti isu ini akan berkesudahan,” kata Tengku Kamil ketika dihubungi.

Misbun yang meletak jawatan 31 Disember lalu tanpa memberi alasan dipujuk BAM atas permintaan ahli Majlis sambil mahukan alasan daripada legenda badminton itu.


Malah, campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang meminta BAM memujuk dan memberi masa kepada Misbun tidak membuahkan hasil apabila jurulatih itu mengambil keputusan untuk membisu seribu bahasa.


“Kami tidak boleh menunggu lagi, kalau semua setuju menerima peletakan jawatan itu, maka beliau tidak akan bersama BAM lagi.

“Sehingga esok, kami masih menanti surat jawapan Misbun tapi setakat hari ini belum ada surat jawapan. Kami tidak memecatnya sebaliknya beliau meletak jawatan. Apabila beliau tidak membalas surat BAM, kami anggap beliau tidak berminat lagi.


“Beliau memang banyak berjasa, membantu mengekalkan Chong Wei di ranking nombor satu dunia selama tiga tahun.

“Tapi yang penting di sini adalah Chong Wei, kami tidak mahu persiapannya terganggu kerana misi besar meraih pingat emas Olimpik mengatasi segala-galanya,” kata Tengku Kamil mengenai pendirian ahli Majlis pada mesyuarat yang akan berlangsung di Hotel Summit, Subang Jaya petang esok.


Ditanya kemungkinan menteri akan campur tangan sekali lagi sehingga memaksa isu ini terus berpanjangan, Tengku Besar Pahang itu berkata, isu ini adalah isu dalaman BAM.


“Kita tidak boleh dengar cakap menteri. Apa yang kita lakukan untuk kepentingan negara, bukannya individu. Paling mustahak Chong Wei berlatih tanpa gangguan isu remeh sebegini.


“Sekarang saya lihat Chong Wei selesa bersama Tey Seu Bock dan Rashid Sidek. Jika Misbun tidak berminat lagi, apa boleh buat? BAM tidak rugi tapi beliau yang rugi.”


http://www.hmetro.com.my/articles/NoktahisuBun/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...