Sunday, April 3, 2011

Hidup terseksa

MIYAGI: “Elektrik dan air hingga kini masih lagi tiada...masalah pengangkutan turut memburukkan lagi keadaan di sini, apa yang kami harap cuma penderitaan ini cepat berlalu,” kata Kishimoto Masashi, 75, nelayan di Onagawa, Sendai yang ditemui ketika mendapatkan bekalan makanan di pusat penempatan sementara.

Menurutnya, semua kenderaan milik penduduk di situ pada hari berlakunya gempa dan ombak besar rosak teruk dan lesap dihanyutkan air termasuk kereta miliknya dan keluarga.


Beliau berkata, kehidupan harian bersama anak dan cucu lelakinya kini sukar, namun masih lagi bernasib baik kerana mendapat bekalan makanan yang disediakan pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang datang dari seluruh Jepun serta beberapa negara luar.

“Makanan tiada masalah kerana kami sentiasa boleh mendapatkannya di pusat penempatan ini, apa yang menjadi masalah adalah kami sukar untuk ke luar ke tempat lain bagi menguruskan urusan lain seperti ke bank dan sebagainya.


“Kami hanya duduk dalam rumah dan keadaan bertambah teruk pada malam hari dengan cuaca yang sejuk serta ketiadaan bekalan elektrik serta air,” katanya yang diterjemahkan perantara.


Menurutnya, dia kini hanya bergantung hidup dengan duit simpanan kerja yang diperoleh setiap bulan kerana tidak dapat keluar ke laut untuk menangkap ikan ekoran bot turut musnah serta keadaan di jeti yang rosak.

Sementara itu, sukarelawan tempatan, Etomichiko, yang membantu penduduk di kawasan itu serta mangsa dari tempat lain yang ditempatkan di pusat penempatan berkata, terdapat kira-kira 700 mangsa ditempatkan di pusat itu yang kebanyakan adalah wanita, kanak-kanak dan warga tua.


Katanya, 50 ahli kumpulan sukarelawan daripada NGO iaitu The Nippon Foundation memberikan bantuan di situ setiap hari dengan mengagihkan barangan seperti makanan, pakaian dan selimut yang diterima dari seluruh jepun.

“Kami juga membantu dari segi penjagaan kesihatan dan bantuan kaunseling bagi mangsa yang masih lagi trauma dengan tragedi ngeri itu.


“Disebabkan waktu ini adalah musim sejuk dan bekalan elektrik pula tiada, kami membuat rawatan seperti urutan kaki dan badan supaya kesihatan mangsa sering terjaga,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hidupterseksa/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...