Sunday, April 3, 2011

Minda: Memalukan jika rakyat Malaysia menganggur

Oleh Dr Aminudin Mansor

BIDANG pekerjaan sangat penting khususnya kepada pencari kerja iaitu lepasan sekolah dan universiti.

Dalam mencari pekerjaan mereka ini tidak seharusnya mengharapkan bekerja dengan kerajaan semata-mata, malah boleh memohon pekerjaan dengan swasta.

Seseorang yang tidak bekerja dianggap menganggur di negara seperti Malaysia adalah sangat memalukan.

Bayangkan pendatang asing dari beberapa negara luar seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina boleh hidup senang-lenang dengan bekerja di sektor pembinaan, perladangan dan pembantu restoran.


Syaratnya adalah kemahuan dan kerajinan, semua bidang di negara ini jika diusahakan secara bersungguh akan mendatangkan pendapatan yang lumayan.

Sikap memilih pekerjaan yang senang dan berpendapatan tinggi di kalangan segelintir rakyat kita haruslah dibuang.

Jika sikap ini masih ada dalam hati rakyat, negara akan kerugian. Peluang dan ruang sentiasa direbut oleh orang luar khususnya pendatang asing yang ingin mencari kekayaan di Malaysia.

Mereka tidak memilih pekerjaan, asalkan mendapat wang, mereka akan bekerja dengan tekun.

Berita baik untuk pencari kerja mula terbuka luas kerana pada masa ini terdapat lebih 20,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor yang didaftarkan melalui portal Jobs Malaysia yang dikendalikan Kementerian Sumber Manusia.

Kebanyakan kekosongan membabitkan tenaga profesional serta sokongan dalam industri perhotelan, pelancongan, pembuatan dan perladangan.

Menurut sumber portal Jobs Malaysia terdapat banyak kekosongan dalam bidang pengurusan 1,826, profesional 46,155, juruteknik dan profesional bersekutu 3,869, perkeranian 3,967, perkhidmatan dan jualan 16,884, perhutanan dan perladangan 15,824, pertukangan 4,540, operator loji dan mesin 19,064, pekerja asas 90,868 yang membabitkan 202,997 kekosongan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed pertambahan kerja kosong itu didorong oleh persekitaran ekonomi Malaysia yang semakin baik.

“Contohnya, sektor perhotelan dan perladangan memerlukan ramai pekerja sehingga ada hotel yang mengambil pekerja asing atas alasan kurang mendapat sambutan daripada kalangan rakyat tempatan,” katanya.

Menurutnya, pencari kerja dijemput ke pelbagai program yang membabitkan 50 majikan dengan tawaran 3,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang yang menawarkan gaji pokok minimum RM650 hingga RM1,000 bagi jawatan rendah, manakala bagi jawatan lebih tinggi pula RM3,000 ke atas.

Graduan dan belia yang masih menganggur digalakkan merebut peluang ini untuk mengisi kekosongan berkenaan. Dalam hal ini, mencari rezeki yang halal sangat digalakkan terutama kepada golongan muda.

Persiapan dalam memohon pekerjaan adalah ilmu dan kemahiran. Tanpa ilmu dan kemahiran seseorang itu sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai pada masa sekarang. Hanya mereka yang berkelayakan, berilmu dan berkemahiran tinggi saja berpeluang mendapat pekerjaan yang ditawarkan.

Berkaitan dengan hal ini, Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka kepada hambanya yang bekerja dan berusaha. Barang siapa bersusah payah mencari nafkah untuk keluarganya, maka dia serupa dengan seorang mujahid di jalan Allah ‘azza wajalla.” (Riwayat Ahmad)

Begitulah pentingnya bidang pekerjaan kepada setiap orang. Orang yang bekerja dapat membiayai dirinya, tanpa bergantung pada orang lain dan apabila sudah berumah tangga dapat menanggung keluarga iaitu isteri dan anak-anak yang merupakan ibadah paling besar.

Jika ditinjau bidang pekerjaan yang paling mudah dan mendapat keuntungan adalah bidang perniagaan sama ada berniaga secara kecil-kecilan ataupun secara besar-besaran yang membabitkan penyediaan makanan khususnya dengan membuka gerai, restoran dan warung.

Bekerja dengan tangan dan kudrat sendiri adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang yang kadang-kadang memberi dan kadang-kadang menolak kepada permintaan kita.

Justeru, tiada makanan yang lebih baik daripada hasil usaha tangan sendiri.

Islam menggalakkan umatnya berusaha mencari rezeki dalam satu-satu bidang dan tidak digalakkan bertukar-tukar kerja. Mengusahakan sesuatu bidang yang boleh mendatangkan rezeki mestilah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan berterusan.

Jika di bandar bidang pekerjaan yang membabitkan penjualan makanan adalah terbuka luas dengan syarat seseorang itu rajin berusaha dan tidak ada rasa malu untuk berniaga. Manakala di luar bandar bidang pekerjaan seperti mengusahakan tanah dengan tanaman dan pertanian, penternakan dan juga perikanan dapat memberikan pulangan lumayan.

Justeru, ketika melaksanakan pekerjaan seseorang itu mestilah ada sifat amanah, rajin, dedikasi, tidak mudah putus asa, sabar, gigih dan sentiasa berusaha.

Tiada kemajuan tanpa usaha dan tiada usaha bermakna tiada kerja yang menyebabkan seseorang itu menganggur. Dalam melaksanakan kerja, mesti ada kesabaran untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.

Barang siapa yang bekerja bukan kerana minat, kemahuan dan keseronokan untuk bekerja, tetapi hanya kerana wang semata-mata, berkemungkinan besar seseorang itu akan bosan dengan pekerjaannya dan menyebabkan dia tidak seronok dalam hidupnya.

Dalam kehidupan, tidak usah bersedih dengan kerja yang tidak dapat diselesaikan dengan sempurna. Pekerjaan yang besar tidak akan ada habisnya.

Sebahagian orang ada yang merasakan bahawa dirinya sama sekali tidak akan hidup bahagia dan puas kecuali jika mereka dapat menyelesaikan tugas-tugasnya.

Seseorang yang bertanggungjawab adalah orang yang dapat melakukan pekerjaan menurut batas kesanggupannya dan merasa senang dengan kerja yang dilakukan.

Jelaslah, bagi mengisi apa juga pekerjaan carilah rezeki di serata muka bumi ini, elakkan daripada menjadi penganggur yang menyebabkan malas berusaha dan dipandang serong oleh masyarakat. Allah sentiasa memberi rezeki kepada hamba-Nya sesuai dengan kegiatan dan kemahuan usahanya serta cita-citanya.

Mata pencarian paling afdal adalah berniaga dengan penuh kebajikan daripada hasil usaha tangan sendiri.

  • Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu


  • http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_MemalukanjikarakyatMalaysiamenganggur/Article/index_html
  • No comments:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...