Saturday, July 16, 2011

BERSIH: Pelajar M'sia dikhuatiri dibuang Al-Azhar

Salhan K Ahmad
Jul 15, 11
6:07pm

Seorang pelajar Malaysia dikhuatiri telah dibuang oleh pentadbiran Universiti Al-Azhar ekoran penganjuran perhimpunan BERSIH 2.0 di Mesir pada 9 Julai lalu.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman berkata pelajar tahun akhir jurusan usulludin itu dikhuatiri telah dibuang universiti, dikatakan atas arahan pihak kedutaan Malaysia di negara itu.

Pelajar berkenaan, Mohd Firdaus Madzlan, 28, merupakan pelajar tahun akhir bagi pengajian peringkat sarjana di Pusat Pengajian Datul Ifta' di universiti berkenaan dan bakal menghadiri konvokesyen pada 25 Jun.

"Dia dituduh menggerakkan perhimpunan BERSIH 2.0 di Kaherah... Kita sedang siasat lagi, harapnya bukan begitulah (dibuang)," katanya.

PAS khuatir pelajar dibuang kerana anjur perhimpunan di MesirKetika ditanya, Dr Rani berkata, beliau mendapat tahu perkara itu setelah dihubungi oleh seorang pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di negara itu.

Pegawai berkenaan, Farizan Subhi merupakan pegawai hal-ehwal pelajar yang bertanggungjawab ke atas pelajar tajaan JAIS.

Difahamkan, Farizan akan mengadakan pertemuan dengan pegawai kedutaan dan universiti berkenaan, esok, bagi mendapatkan penjelasan.

"Saya minta dia (Farizan) cari surat rasmi yang kata dia (pelajar itu) dibuang. Kita akan cuba dapatkan bantuan menteri besar supaya tanya kedutaan.

"Kalau betul sah dibuang, kita akan minta penjelasan atas dasar apa dia dibuang," kata Rani ketika ditemui media di bangunan kompleks mahkamah Shah Alam hari ini.

Menjawab soalan, Dr Rani berkata, pelajar berkenaan tidak mempunyai masalah akademik dan hanya hanya perlu menghabiskan pengajian tahun akhir.

"Ini adalah tindakan pertama (dilakukan kerajaan) terhadap pelajar. Ini adalah tindakan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan kerana pelajar tersebut akan tamat pengajiannya bulan ini dan sedang menghadapi peperiksaan terakhir," katanya lagi dalam satu kiriman SMS kepada Malaysiakini.

Dalam pada itu, seorang abang kepada Mohd Firdaus berkata, pelajar itu telah diberitahu oleh pengarah pusat pengajian tersebut bahawa Mohd Firdaus "ditamatkan pengajian serta merta."

Mohd Farhan berkata perkara itu diberitahu kepadanya oleh Mohd Firdaus melalui perbualan telefon, semalam.

"Alasan yang diberi... Kerajaan Malaysia sudah arahkan kerajaan Mesir untuk tamatkan pengajian dia sebab anjurkan perhimpunan bersih baru-baru ini.

"Kerajaan Malaysia buat arahan itu melalui kedutaan Malaysia di sana," dakwanya lagi ketika dihubungi lewat petang ini.

Beliau yang juga timbalan presiden Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir berkata persatuan pelajar itu akan berusaha untuk membuat desakan melalui kementerian pendidikan tinggi supaya menjelaskan tindakan berkenaan.


http://malaysiakini.com/news/170043

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...